Saturday, February 27, 2016

Wahai Duta Agama : Jagalah Akhlaq Anda

Peringatan kepada semua Ustaz, Pendakwah, penuntut ilmu, pencinta sunnah, penegak agama Allah, dan terutama sekali kepada diri saya sendiri: jagalah perilaku dan akhlakmu dan tonjolkanlah peribadi yang mulia – sama ada secara peribadi mahupun di laman media sosial – kerana demi Allah, anda bertindak sebagai duta dan wakil untuk agama, sama ada anda sedar atau tidak.
Malah, kalau anda berjanggut, bertudung labuh atau ber-niqab, pun sama juga: anda secara tidak langsung membawa imej agama bersama anda.

Orang yang “suka” atau “sokong” anda, akan melihat tingkah laku anda sebagai rujukan dan contoh teladan.
Bila anda mempamerkan akhlak yang buruk seperti mengata, mengutuk, mengumpat orang lain dengan biadab, menggunakan perkataan yang tidak senonoh atau melampaui batas dalam perbincangan; atau sikap yang ambil ringan terhadap isu haram/khilaf; meremehkan amalan sunnah; atau berkongsi lawak kotor; pakaian yang kurang sopan; mengkritik usaha dakwah lain – secara tidak langsung mengajar orang awam bahawa ini semua adalah “ok”, lama-kelamaan merosakkan akhlak dan sikap umat Islam, dan kadangkala menyebabkan perpecahan di ummah, terutama di kalangan “pengikut”.

Manakala orang yang tidak setuju atau adanya permusuhan dengan anda, akan cari ‘poin’ untuk kenakan anda dan merosakkan imej anda, dan anda baru sahaja menghidangkan peluru kepada mereka, di samping amalan anda dicatit dan disaksi oleh Allah dan Malaikat-Nya.

Orang yang tidak suka agama pula, akan gunakan contoh anda sebagai alasan “beragama tetapi perangai buruk”.

Ingatlah wahai sahabat, Rasulullah ﷺ bersabda:
“إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاقِ‏”
“Sesungguhnya aku HANYALAH diutuskan untuk menyempurniakan akhlak yang baik” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Tujuan utama Rasulullah diutuskan secara keseluruhannya adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia – jadi kalau seseorang yang menuntut ilmu yang dibawa oleh Rasulullah, tetapi ilmunya itu tidak membawa perubahan positif pada akhlaknya, bermaksud dia telah gagal terhadap matlamat Rasulullah diutuskan.

Para ulama zaman dahulu meletakkan garis panduan yang sangat terperinci tentang akhlak dan adab penuntut/penyebar ilmu: kerana kepentingan peranan mereka mengajar dan mentarbiyah masyarakat. Alangkah sedihnya bila kita lihat zaman skarang dipenuhi dengan “ustaz” yang ada ilmu, tetapi menonjolkan perangai yang buruk dan malang sekali, dijadikan ikutan.
Para ulama salaf-us soleh, mereka menjadi rujukan terbaik masyarakat: dan mereka sendiri belajar adab dan akhlaq daripada guru mereka sendiri. Bayangkan, pada zaman Imam Ahmad ibn Hanbal, diriwayatkan bahawa dalam halaqah ilmunya, seramai 3000-5000 orang akan datang ke kelasnya. Di zaman yang takde mikrofon, apa yang 3000 orang dapat pelajari? Mereka datang untuk mempelajari akhlaknya.

Jadi wahai sahabat, sentiasa berwaspadalah dengan akhlak anda. Kesemua pertuturan kita – termasuklah apa yang dikongsi di Facebook – dicatit, dinilai, dan PASTI akan dibalas oleh Allah. Bawalah sebaik-baik bekalan ke akhirat anda.

No comments:

Post a Comment