Tuesday, May 29, 2018

Tazkirah Ramadhan Menjelang Musim “Post-Pilihanraya”

QaddarAllahu wa mashaa fa'al, Allah mentakdirkan pilihanraya dan perubahan kepimpinan negara kita berlaku di ambang permulaan bulan Ramadhan, dan umat Islam diuji dengan pelbagai berupa tuduhan, fitnah, pergaduhan, ‘fake news’ di sekitar media komunikasi terutama sekali media sosial.

Maka di sini saya rasa perlunya untuk dikongsi semula beberapa peringatan penting seputar hal ini, mudah-mudahan memberi kesedaran semula dan membimbing kita semula ke arah Ramadhan yang terbaik dan diberkati Allah.

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka katakanlah yang baik - atau diam sahaja!" (HR Al-Bukhari dan Muslim)

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ ، أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّى امْرُؤٌ صَائِمٌ
"Apabila salah seorang dari kalian berpuasa maka janganlah berkata kotor / bersetubuh, jangan pula berteriak-teriak. Jika ada seseorang yang mencaci dan mengajak berkelahi maka katakanlah, ’Aku sedang berpuasa’" (HR Al-Bukhari, Muslim)


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan penipuan dan amalan keburukan (ketika berpuasa), maka Allah tidak perlu kepada dia menahan lapar dan dahaganya!" (HR Al-Bukhari)

Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah al-Hujarat ayat 6)

Rasulullah (ﷺ) bersabda
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
"Waspadalah terhadap sangkaan buruk! Sesungguhnya sangkaan buruk itu seburuk-buruk pertuturan, janganlah kamu mengintip-ngintip (untuk mencari kesalahan orang lain), janganlah Saling benci-membenci, janganlah kamu pulaukan sesama sendiri,
Jadilah kamu bersaudara, wahai hamba-hamba Allah!" (HR Al-Bukhari)

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
"Cukuplah seseorang itu digelar sebagai penipu apabila dia menyampaikan segala-gala yang didengari olehnya" (HR Muslim)

Rasulullah ﷺ bertanya: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”
Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tiada wang dan tiada harta”. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
“Sesungguhnya orang yang (benar-benar) muflis dari kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat nanti dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi ia datang juga dengan membawa dosa mencaci manusia, dosa menuduh manusia, dosa memakan yang haram, dosa membunuh manusia, dosa memukul manusia, lalu dibayar balik dosa-dosa yang dilakukan tersebut dengan mengambil pahala solat, puasa dan zakatnya, lalu diberikan kepada orang yang dia melakukan dosa terhadapnya, tetapi belum habis dosa itu dibayar, pahalanya telah pun habis (kerana telah digunakan untuk membayar dosanya terhadap manusia), lalu diambil dosa orang yang dia melakukan dosa terhadapnya itu dan dilemparkan ke atasnya, lalu dia pula yang menanggung dosa milik orang lain, akhirnya ia dicampakkan ke dalam neraka” (HR Muslim)

Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum itu mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain – boleh jadi mereka (yang dicemuh) itu lebih baik daripada (yang mencemuh). Dan jangan pula segolongan wanita mencemuh golongan wanita yang lain – boleh jadi mereka (yang dicemuh) itu lebih baik daripada (yang mencemuh);
Dan janganlah suka mencela dirimu masing-masing, dan janganlah memanggil sesama sendiri dengan gelaran-gelaran ejekan. Sburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman!
Dan barangsiapa yang tidak bertaubat – maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah Al-Hujarat, ayat 11)

Rasulullah ﷺ bersabda

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
"Kekuatan sebenar itu bukanlah (kekuatan fizikal) dalam bergusti - akan tetapi kekuatan sebenar adalah mengawal diri ketika sedang marah" (HR Al-Bukhari)

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Daripada kesempurnaan Islam seseorang – adalah dia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena (tiada manfaat) baginya” (Hadith Hasan riwayat At-Tirmidzi dan ibnu Majah)


Al-Fudhail bin Iyadh rahimahullah berkata:

لَوْ كَانَتْ لِيْ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ لَمْ أَجْعَلْهَا إِلَّا فِيْ إِمَامٍ، لِأَنَّهُ إِذَا صَلُحَ الْإِمَامُ أَمِنَ الْبِلَادُ وَالْعِبَادُ
"Kalaulah aku memiliki satu doa yang mustajab, maka aku tidak akan berdoa dengannya kecuali untuk kebaikan pemimpin, karena apabila seorang pemimpin soleh, maka negeri dan penduduknya pun akan aman."

(Qa'idah Munhashirah fi tha'atillahi warasulihi wawulatil umur hal. 9 karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah)

Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ دَعَا لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa untuk saudaranya dibelakangnya (yakni, tanpa pengetahuannya) kecuali adanya malaikat akan berdoa :
“Amin – dan semoga kamu juga dikurniakan sedemikian”” (HR Muslim)

wAllahu a’lam.
Semoga Allah kurniakan Ramadhan yang terbaik yang diberkati buat kita semua – Amin.


أبو معاوية
-AM.FAL-

No comments:

Post a Comment