Friday, May 14, 2021

“Agar Kamu Bersyukur” - Renungan hikmah Hari Raya


Pada penghujung bulan Ramadan, padai saat hampir-hampir nak raya, umat Islam di Malaysia diuji dengan PKP. Dan kita dapat lihat, ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati; malah ada pula golongan-golongan yang mendesak rakyat untuk bangkit dan protes terhadap kerajaan dan pihak berkuasa sebagai tunjuk perasaan tidak puas hati.

Jika direnungkan di dalam Al-Qur’an berkenaan dengan ayat-ayat tentang Ramadhan dan berpuasa, Allah simpulkan dengan berikut:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Allah menghendaki kemudahan untukmu, dan Dia tidaklah menghendaki kesukaran untukmu. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu memembesarkan (bertakbir kepada) Allah atas petunjuk-Nya yang di-Kurniakan kepadamu,
agar kamu BERSYUKUR.”
(Surah Al-Baqarah 2:185)

Agar Kamu Bersyukur: Itulah matlamat kesimpulan ibadah sepanjang Ramadhan. Jadi mereka yang menyemarakkan semangat orang ramai untuk meluahkan perasaan “tidak puas hati” itu bukan sahaja direct bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Qur’an, malah mengajak manusia untuk bertindak sebalik matlamat Hari Raya sama sekali.

Realitinya, kalau kita fikirkan secara matang dan objektif, kalau kita pandang nikmat-nikmat dunia yang ada di sekeliling kita - seperti kesihatan kita, keselamatan, makanan kita - kita jauh lagi banyak alasan untuk bersyukur kepada Allah. Tidakkah kita lihat kesusahan yang ramai umat Islam - termasuk saudara saudari kita di Gaza, Syria dan Yaman - hadapi setiap hari?

Rasulullah ﷺ bersabda,
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ مُعَافًى فِي جَسَدِهِ آمِنًا فِي سِرْبِهِ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا
"Barangsiapa di antara kamu yang bangun tidur, dalam keadaan ada kesihatan pada tubuh badannya, ada keselamatan pada badannya dan dirinya, dan mempunyai makanan secukupnya untuk HARI tersebut, maka seakan-akan dia telah memiliki nikmat seluruh dunia dan seisinya” (HR At-Tirmidzi, ibn Majah)

Menarik kalau dilihat hadith ini, dari perspektif dunia sekarang pada abad ke-21. Penyelidikan tentang kadar kemiskinan dunia sekarang menunjukkan: Kalau anda mempunyai makanan dalam peti sejuk, pakaian di atas belakang tubuh, bumbung atas kepala, dan tempat tinggal untuk tidur, maka anda lebih kaya daripada 75% daripada penduduk dunia.

Fakta: Kebarangkalian besar, anda yang membaca post Facebook saya ini sekarang, tergolong antara 25% yang paling kaya di dunia. Syabas!

Jadi, mengapa kita terlalu mudah berasa tidak puas hati dan tidak bersyukur bila Allah uji kita dengan ditarik sedikit daripada nikmat dunia - yang barangkali tidak dirasai oleh majoriti populasi dunia ni, baikpun di luar musim COVID-199?

Boleh jadi, kita ada penyakit mental iaitu “entitlement mindset” dengan Allah. Sebab Allah bagi kita semua kenikmatan ni tanpa kita minta, kita rasa seolah-olah Allah mesti bagi kita. Kita lupa diri sendiri - lupa siapa Rabb, dan siapa hamba.

Atau boleh jadi, sebab kita dah terlalu berharap kepada sesuatu di dunia. Naluri manusia ni, bila dah banyak banyak buat pelaburan dalam satu perkara, memang dia terasa berat nak tinggalkan. Mungkin begitulah perasaan sesetengah golongan - mereka dah banyak buat persediaan, dah banyak spend duit, jadi bila last minute dapat berita tak best, dia rasa kerugian yang besar.

Renungkan nasihat yang diberikan kepada seorang khalifah Bani Umayyah, Sulaiman bin Abdul Malik. Beliau bertanya kepada penasihatnya, “wahai Abu Hazim, mengapa kita begitu membenci kematian?”

لأنكم عمرتم دنياكم وخربتم آخرتكم، فأنتم تكرهون أن تنتقلوا من العمران إلى الخراب‏
“Kerana kamu terlalu ghairah mendirikan duniamu dan kamu mengabaikan akhiratmu.
Maka kamu benci untuk meninggalkan sesuatu yang kamu dah berusaha dirikan, kepada sesuatu yang kamu telah abaikan”

Mantap, nasihat Abu Hazim ni. Siapa yang banyak spend duit dan masa bersiap untuk Raya, dan - QaddarAllahu wa mashaa faal - terhalang disebabkan PKP atau perkara lain yang berbangkit, maka akan kecewa besar, bila plan tak jadi.  

Sebaliknya, bagi seorang mukmin yang dah banyak menginfaq-kan hartanya dan usaha and ibadah untuk melaburkan akhiratnya, maka dia akan lebih tenang dalam hidup ini, kerana dia tahu, sekali-kali tidak akan kecewa, kerana Kiamat itu pasti, dan Allah sekali-kali tidak akan memungkiri Janji-Nya.
Mereka yang telah berusaha mendirikan akhiratnya - sepanjang bulan Ramadhan - mengenali nikmat dan ganjaran yang Allah telah sediakan untuk hamba-Nya yang soleh, terutama sekali mereka yang telah bersungguh-sungguh beribadah sepanjang bulan keberkatan ini, dan optimis berharap dapat memperoleh Laylatul Qadar, dan telah merasai kenikmatan dan kemanisan dalam ibadah mereka - dalam berdoa, dalam solat, dalam sujud, dalam bacaan Qur’an mereka. Diingatkan tentang sabda Nabi ﷺ,

وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ
"Bagi mereka yang berpuasa, terdapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika waktu berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Rabb-nya” (Al-Bukhari)

.. Maka oleh itu, mereka bersyukur tatkala Hari Raya.
Sebab kalau Allah menerima amal soleh mereka, mereka tahu: Ada kegembiraan yang lagi BEST bakal menanti mereka, insha Allah!

Disebabkan itu, Mu’alla bin Al-Fadhl berkata, “para salafus soleh akan berdoa selama 6 bulan selepas Ramadhan, agar Allah menerima amal soleh mereka pada bulan Ramadhan”

Jadi persoalannya adalah, di mana kita lebih banyak melaburkan usaha, masa, harta dan pengharapan kita?

Memang tidak dinafikan, PKP dan wabak COVID-19 mendatangkan banyak kesusahan kepada kita. Oleh itu, terus berdoa, semoga Allah permudahkan urusan semua yang dibebani dan diuji, terutama mereka yang dijangkiti virus ini, frontliners yang bersusah payah merawat pesakit, mereka yang dibebani dengan kekangan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.. Semoga Allah terus mengurniakan kesabaran, membalas kesabaran kalian semua, menggantikan yang lebih baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Kejadian-kejadian kebelakangan ini sepatutnya membuatkan kita sedar: Dunia pasti mengecewakan. Bila kita terlalu berharap dengan dunia, maka sudah pasti kita akan kecewa. Bila kita berharap dengan Allah, takkan kecewa. Gerenti.

تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ
"Semoga Allah menerima daripada kami, dan daripadamu" 🤲🏽


No comments:

Post a Comment