Monday, August 09, 2021

"Panjang umur" - Nikmat atau azab? 🤔 #Birthday

 



Antara doa yang selalu diungkapkan di kalangan orang Melayu adalah "semoga panjang umur dan murah rezeki" - doa feveret untuk pengantin, gitew.

Masha Allah, cantik doa ni kan? Fitrah manusia memang sukakan harta dan kesenangan, serta hidup yang lama untuk menikmatinya. Bahkan, bapa kita Nabi Adam pun inginkan hidup abadi, dan mengetahui demikian, Iblis menggunakan ilmu tersebut untuk menarik perhatian Adam untuk scam beliau makan daripada "Pokok abadi" (shajaratul khuld شَجَرَةِ الْخُلْدِ) seperti dalam surah Ta-Ha, ayat 120.

Akan tetapi Islam memberikan perspektif yang lebih berhikmah dan mendalam tentang realiti umur dan harta.
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?”
Baginda ﷺ bersabda, “Mereka yang umurnya panjang dan amalannya baik”
Dia bertanya lagi, “maka siapakah seburuk-buruk manusia?”
Baginda bersabda, “Mereka yang umurnya panjang dan buruk (jahat) amalannya” (HR Al-Hakim dan At-Tirmizi yang menilainya hasan sahih)

Wow.. seburuk-buruk manusia pun panjang umur gak!? 😱

Iya.. Ini disebut "istidraj" - di mana untuk seorang fasiq yang selalu berdosa dan bermaksiat kepada Allah, maka Allah memberikannya tempoh lebih untuk membuat pilihan untuk mengumpul dosanya di dunia, sebagai hujjah di akhirat kelak. na'udzubillah.

Umur yang panjang hanya akan mendatangkan keberkatan dan kebaikan menjadi sebaik-baik manusia jika digunakan modal "umur" ini - yakni, tempoh hidup di dunia - untuk beramal soleh dan sentiasa perbaiki dirinya.

Bila kita sedar Allah memberi kita tempoh lagi untuk perbaiki amalan kita, sepatutnya memberi kesedaran untuk tepuk dada dan bertanya iman, persoalkan diri kita, "adakah ini petanda Allah sayang aku kerana inginkan aku perbaiki amal solehku? Atau petanda istidraj?

"Hari Jadi" bukanlah satu peristiwa untuk diraikan; bahkan satu lagi peringatan untuk kita mengingatkan matlamat dan hala tuju hidup kita, memperbaiki amal kita. Dan peringatan bahawasanya kematian itu otw: berkurangnya satu tahun lagi tempoh hidup di dunia.

Alang2 dah cerita tentang doa feveret orang Melayu, nak cerita sket pasal "murah rezeki". Hikmah yang sama di atas boleh guna untuk harta, kekayaan, dan semua nikmat Allah yang lain juga, seperti anak. Renungan: Bukankah Fir'aun dan Qarun kaya raya? Malah nama Qarun siap integrate dalam Bahasa Melayu standard, ada simpulan bahasa ada petik namanya lagi bagi kekayaan yang tidak dikenali.. "harta Qarun" katanya, LOL 🤣
Tetapi apakah kesudahan Qarun di dalam Al-Qur'an?

Bukankah Rasulullah ﷺ, manusia yang Allah paling cintai, beliau hidup dalam kondisi hidup yang sangat simple. Aisya menceritakan kadangkala berbulan-bulan api tidak dinyalakan di rumah, langsung tiada masakan, dan mereka hidup hanya dengan kurma dan air. Satu hari, apabila dilihat oleh Umar, Umar menangis melihat tempat kediamannya kerana sedih melihatkan keadaan Nabi Allah, sedangkan pembesar Romawi dan Farsi memiliki kekayaan yang melimpah ruah. Maka beliau berkata kepada Umar, "wahai Umar, tidakkah kau bergembira dan berpuas hati... kerana kenikmatan tersebut adalah untuk mereka di dunia, manakala ianya untuk KITA di akhirat kelak?"
(Masha Allah. Kalaulah wujud microphone pada zaman tersebut, inilah drop-the-mic moment)

Jelas sekali, kekayaan atau panjangnya umur seseorang itu bukanlah semestinya menjadi petanda kebaikan atau sayangnya Allah kepada kita. Yang penting adalah apa yang kita lakukan dengan umur dan harta yang Allah kurniakan kepada kita.

Tapi sat geng... nak cerita best ni, bagi semangat.
Lihat hadith berikut: satu tahun amal soleh adalah lebih tinggi nilainya daripada mati syahid, subhanAllah!

Talhah bin Ubaidullah meriwayatkan: Dua orang telah masuk Islam bersama; tetapi salah seorang itu lebih bersemangat dalam ibadah. Sahabat yang lebih bersemangat itu telah pergi berjihad dan mati syahid. Manakala sahabat lagi seorang, telah meninggal dunia satu tahun selepas sahabatnya tadi mati syahid.
Talhah meriwayatkan: "Aku telah lihat dalam satu mimpi bahawasanya aku di pintu Syurga dan aku melihat kedua mereka. Seorang pengumum telah mengatakan, sahabat yang mati kemudian masuk ke syurga mendahulukan sahabat yang mati syahid itu.”

Kemudian, Talhah menceritakan pengalaman mimpinya itu dan manusia berasa kagum. Berita tersebut sampai kepada Rasulullah yang bertanya, "Mengapa kalian semua kagum?"
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah ﷺ, sahabat pertama yang lebih bersemangat dan mati syahid, tapi ternyata sahabat kedua yang mati kemudian, dia masuk syurga terlebih dahulu!"

Rasulullah ﷺ bersabda,
أَلَيْسَ قَدْ مَكَثَ هَذَا بَعْدَهُ سَنَةً ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا بَلَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ وَأَدْرَكَ رَمَضَانَ فَصَامَهُ وَصَلَّى كَذَا وَكَذَا مِنْ سَجْدَةٍ فِي السَّنَةِ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا بَلَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏"‏ فَمَا بَيْنَهُمَا أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ ‏
"Bukankah dia menetap di dunia ini setahun lebih daripada sahabatnya?
Bukankah beliau telah melalui satu bulan Ramadhan, berpuasa dalamnya, menunaikan solat sekian dan sedemikian pada tahun tersebut?
Perbezaan antara mereka berdua adalah lebih besar daripada langit dan Bumi!" (HR Ibnu Majah, Ahmad)

Umur yang panjang, kalau digunakan dengan baik, maka boleh menjadi nikmat yang sangat hebat.

Gunakanlah waktu yang terhad anda di dunia ini dengan sebaik-baiknya.

Lihatlah di sekeliling kita, tazkirah HARIAN yang diberikan oleh Allah.. betapa ramainya orang meninggal dunia disebabkan #COVID19 dan lain-lain, sedangkan Allah menangguhkan lagi waktu kita. Mereka dah hilang peluang untuk beramal soleh dan melaburkan akhirat mereka. Peringatan untuk diri saya dan kita semua yang masih lalai lagi: Nak tunggu sentap macam mana lagi, bro?

BarakAllahu fikum.

Faisal أبو معاوية 👣

p/s Saya tak sambut Hari Jadi. Tak payah wish k 🙂

No comments:

Post a Comment