Tuesday, January 17, 2023

Perkongsian: Pengaruh housemate “geng masjid” saya

 



Rasulullah ﷺ bersabda, salah satu antara 7 golongan yang akan mendapat naungan pada Hari Kiamat adalah

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

“Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid” (HR Al-Bukhari, Muslim)

Saya pernah jumpa orang macam ni. Ok lah.. at least, saya rasa lah, dia orang macam ni.

Orang tersebut adalah ex-housemate saya (nama dirahsiakan. Untuk penulisan ni, kita panggil dia “abang Jep”). Sewaktu mula-mula sekali start bekerja di Miri pada tahun 2008, kami menyewa rumah bersama.

Waktu tu, saya lain. Masih merokok. Janggut belum ada lagi. Solat pun masih tunggang langgang. Tak reti pegi masjid kecuali solat jumaat, terawih dan solat raya. Tapi kawan ni, housemate saya abang Jep - sangat rajin pergi masjid setiap hari, walaupun pada waktu tersebut, dia tiada kereta sendiri. Subuh, Maghrib, Isha: setiap hari beliau akan pinjam kereta housemate; kalau takde kereta, dia tetap juga akan jalan dari rumah ke masjid, jarak dalam 1km.
Ya, walaupun waktu subuh 😱.

Lama-kelamaan dia start pinjam kereta saya untuk ke masjid, walaupun saya sendiri tak pegi. Lawak gak, masa tu saya rasa seronok dan agak bangga, sebab kononnya housemate guna kereta saya untuk tujuan ibadah. Padahal sendiri tak pegi 😆. Dah tahu fadilat solat jemaah 27x ganda, housemet dah pegi masjid bawak kereta aku, tapi still jugak solat sorang2 kat bilik. Fail.

Satu hari, masa tengah main videogame Xbox saya - rasanya pada waktu maghrib - Abang Jep cakap, “eh.. jom la bro. Ikut i pegi masjid. Nanti balik karang u sambung la main”

Betul jugak. Pegi kejap je, pastu sambung.

Ok lah. Jom.

Rasa2nya, tulah first time saya solat fardhu di masjid di luar Ramadan. Rasa macam.. best pulak. Takde la susah sangat. Sempoi je. Solat 5 minit, pastu balik. Setel. Balik tu, main lah game puas2.

Tapi semenjak hari tersebut, tercetuslah rasa semangat untuk teruskan tabiat ini setiap hari. Satu tabiat harian yang  saya cuba kekalkan dengan istiqamah sehingga hari ini: Hampir 15 tahun kemudian. Dan saya harap, terus kekal sehingga nafas terakhir. 

Saya doakan semoga Allah mengurniakan juga pahala kepadanya setiap kali saya pergi solat fardu di masjid, kerana Nabi ﷺ bersabda,

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

“Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” [HR Muslim (2674)]

WALAUPUN TRAVEL…

Yang saya rasa amat kagum dengan sikap dia.. Dia akan tetap istiqamah untuk solat di masjid walaupun musafir untuk business travel. Saya pernah ikut dia travel. Dia sanggup pilih hotel murah - hotel 3 bintang yang buruk - asalkan walking distance dengan masjid. Kalau ikut kita lah… 1,001 alasan. “Rilek ah bro.. musafir baa”. Tapi dia, tetap nak juga solat subuh di masjid. Masha Allah.. Ini betul2 real cinta masjid, bang. First time saya jumpa orang macam ni.

Disebabkan pengaruh beliau ini juga, skarang, semua tempat saya musafir, saya akan usaha cari masjid. Dah jadi macam adventure, bila holiday, kita test masjid di negeri2 lain. Ini semua berkat pengaruh abang Jep.

CINTA QUR’AN

Dia jugalah antara orang pertama saya jumpa yang cintakan Al-Qur’an. Saya ingat first time saya ikut dia solat subuh pada hari Jumaat. Muka dia sangat happy dan excited bawak saya. dia kata, “masjid ni special bro. Tiap2 minggu hari jumaat, dia akan baca surah sajadah dan al-insan.. ikut sunnah Nabi. Memang best”.

Masa tu, saya tak faham.. “tu yang best? Surah panjang2 ni?” Masa tu, tak appreciate. Kita suka imam yang baca Al-Kauthar dengan Al-Ikhlas. Tak erti rasa kemanisan ikut Sunnah Nabi ﷺ (Kalau tak ikut, memang tak rasa la kan). 

Bertahun2 kemudian, selepas dah hafal dan belajar tafsir surah2 tersebut.. baru saya rasa.. wow.. memang best. Dan Abang Jep lah antara orang pertama saya jumpa yang menonjolkan perasaan cinta nya. Legend. 

ASAL USUL CINTA MASJID?

Lepas kami dah mula jadi geng masjid sebumbung, saya pernah interview dia.. nak belajar sikit “origin story” dia.. mana asal usul semangat istiqamah dia untuk solat di masjid? Adakah ilham datang dari diri sendiri? Atau ada ahli keluarga yang didik dia?

Dia kata, sejak dia kecil, bapa dia yang rajin bawa dia pergi ke surau untuk setiap solat fardhu. Jadi, bila dah besar - masa universiti, masa dah kerja, umur 30-an, dah ada anak 3 orang - habit dah lekat. Dah jadi kebiasaan. Mesti solat kat masjid. Kalau tak pegi masjid, rasa lain macam.

Wow.. ini lah kesan tarbiyah seorang bapa. Dan disebabkan beliaulah, saya rasa semangat dan tergerak hati untuk bawa anak saya Muawiyah ke masjid setiap hari sejak umurnya 2 tahun. Dan saya berharap juga, kalaulah Muawiyah rajin solat di masjid selepas dia baligh, moga2 abang Jep & bapanya juga dapat pahala free.

KAWAN BAIK

Sahabat2 sekalian. Ini lah kesan pengaruh bila kita ada sahabat yang baik. Nabi ﷺ bersabda,

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, mungkin akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya - sekadar berada di sekelilingnya.

Sedangkan tukang besi pula, boleh jadi akan membakar bajumu. Atau paling kurang, kamu mendapatkan bau yang busuk bila berada dengannya.”

(HR Al-Bukhari (5534) dan Muslim (2628))

Saya amat bersyukur kerana Allah takdirkan saya stay dengan abang Jep. Antara semua manusia di dunia ni, Allah takdirkan kami report duty pada hari yang sama, di tempat berjauhan dari keluarga, dan tinggal satu rumah bersama. Walaupun kami housemate untuk jangkamasa kurang dari setahun, tapi terasa impak dan kesian besar dalam hidup saya. Allahumma barik. 

Jujur saya cakap, ada juga rasa jeles demi Allah.. bestnya, dia dapat pahala free free je, setiap kali saya pegi masjid. Alangkah baiknya kalau aku pun dapat bagi pengaruh yang baik yang berkekalan untuk sahabat2ku! Tapi yalah.. jangan angan2 je. Nak pahala, kena la usaha. Ajak je kawan kita. Kalau diorg buat tak tahu, ajak lagi. Kadang2 kita ni cepat sangat putus asa. Saya bersyukur la abang Jep tak putus asa dengan saya.

Kita semua ada sahabat2 yang perlukan dorongan. Jadi lah seorang sahabat seperti abang Jep.

Imam Syafi'ee pernah berkata:
“Jika engkau mempunyai teman yang selalu membantumu dalam rangka ketaatan kepada Allah, maka peganglah dia erat-erat, jangan pernah kau lepaskannya. Kerana mencari teman yang baik itu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali…”
(Ruj: Sifat As-Safwah)

Semoga menjadi contoh teladan yang baik agar dijadikan ibrah untuk kita semua, dan semoga Allah jadikan kita semua istiqamah dalam beribadah kepada-Nya dengan cara yang Dia paling Cintai.. 🤲🏽

No comments:

Post a Comment