Wednesday, December 07, 2016

Gunalah Media Sosial Dengan Bijaksana

Alhamdulillah – media sosial sangat mudah untuk berkomunikasi kepada orang ramai dalam masa yang singkat dan cara yang mudah.

Pada masa yang sama, media sosial terhad dalam kita tidak mengenali nada suara, tonasi percakapan, emosi atau paras rupa – jadi sangat besar ruang untuk salah faham, kalau kita tidak berhati-hati.

Jadi janganlah guna media sosial untuk sindir, perli, mengutuk atau kritik lain-lain atas platform umum – sama ada atas isu agama, politik, organisasi atau peribadi. Dan tahanlah diri daripada menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan dalam saat-saat emosi: terutama sekali apabila marah.

Boleh jadi, disebabkan perkataan anda yang kecil, paling sedikit pun, boleh menyebabkan yang lain terasa, tersinggung, marah, sentap, “left group” – paling teruk, boleh mencetuskan pergaduhan, menimbulkan fitnah, membatu api-kan antara pihak lain.

Kalau anda ada taraf yang tinggi di khayalak masyarakat – anda seorang ustaz, seorang pemimpin, ramai follower, dan sebagainya – lebih tinggi, lebih dahsyat dan lebih besar impak dia.
Sebab itulah firman Allah kepada orang-orang beriman – janganlah buka ruangan pintu untuk shaytan menghasut :

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا
“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, untuk mengucapkan kata-kata yang terbaik; (kerana) sesungguhnya, Shaytan itu (sentiasa) menimbulkan perselisihan (membatu apikan) di antara mereka.
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia” (Surah Al-Isra, ayat 53)

Kalau ada perkara nak tegur, buat secara peribadi dahulu. Kecualilah kalau fitnah yang berleluasa – itu pun, buatlah dengan rasional dan bijaksana, dan serahkan kepada ahlinya di mana patut – bukan tembak sebarang. Kita koboi ke mukmin?

Adapun orang-orang mukmin, metodologi mereka :

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dah Hari Akhir, maka hendaklah ia berkata baik, atau diam sahaja!” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Kawallah emosi kita – semua amalan kita akan disoal.

Saya ingatkan diri saya dan diri sahabat-sahabat sekalian – terutama sekali mereka yang berniat ikhlas menggunakan media sosial untuk kebaikan dan tujuan agama :

IttaqUllah! Tanyalah diri sendiri – Adakah dunia media sosial ini bertambah lebih baik atau lebih mudharat dengan kehadiran kita? Apa matlamat kita menggunakan media sosial.. adakah untuk menyebarkan kebaikan atau menyebarkan fitnah dan huru-hara?

Boleh jadi kata-kata kita yang ringkas di media sosial – walaupun sekadar tekan-tekan jari di skrin – boleh memberi inspirasi kepada orang untuk berubah kepada kebenaran, dan anda menjadi agen untuk hidayah Allah; tetapi boleh jadi juga kata-kata kita boleh menyebabkan perpecahan, dan – tahniah – anda secara tidak langsung menjadi agen untuk shaytan. Renungkan kata-kata Rasulullah ﷺ :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً، يَرْفَعُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ
Sesungguhnya, seorang hamba itu mungkin bertutur sesuatu perkataan yang disukai Allah, tanpa dia menganggapnya sebagai sesuatu yang berat/penting, tetapi disebabkan perkataan itu, Allah menaikkannya dengan beberapa darjat (kehormatannya di sisi-Nya, atau darjat di Syurga)

وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
“Dan sesungguhnya, seorang hamba itu bertutur sesuatu perkataan yang mendatangkan kemurkaan Allah, tanpa mengiranya sebagai sesuatu yang berat, tetapi akan dihumban ke dalam neraka jahannam disebabkan kata-kata tersebut” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment