Tuesday, November 29, 2016

Lelaki tidak suka belajar Tajwid?

Baru-baru ini, isteri saya mengajak beberapa kenalan dan ahli keluarganya turut serta dalam satu kursus Tajwid berguru intensif, yang khusus untuk perempuan sahaja.

Selepas beberapa minggu dalam kursus tersebut, beliau bertanya kepada maklumbalas mereka, bagaimana? OK tak kelas Tajwid?
Kesemuanya memberi maklumbalas yang amat positif - "Best!" - dan bila ditanya seorang demi seorang, "Kenapa?" atau "Apa yang best?" Mereka semua menjawab :  sebab ustazah banyak tegur, sangat terperinci, selalu cari kesalahan, tahulah kelemahan untuk perbaiki tajwid.  

Ajib! Mereka sangat seronok bila ditegur dan ditunjuk kesalahan - dan masha Allah, mudah-mudahan ini satu petanda tentang keikhlasan dalam menuntut ilmu, mengislahkan amal dan memperbaiki diri.

.. Tetapi malang sekali, hal ini sangat berbeza dengan ramai lelaki.
Daripada pengalaman kami, ramai lelaki yang cuba mengelak daripada tadarus/bacaan Qur'an dan diperbetulkan tajwid, terutama sekali di hadapan orang lain dalam persekitaran kelas. Bila di perbetulkan sedikit, sentap.
Malah, kadangkala jika ada majlis ilmu/halaqah/usrah yang ada padanya tadarus/bacaan Qur'an, mereka akan mengelak terus daripada hadir kerana 'malu' atau terasa bila ditegur, akhir sekali rugi terus ilmu.
Ada juga yang terus-terang beritahu saya dan sahabat lain secara peribadi, mereka memang tak nak hadir kerana adanya sesi tadarus Qur'an, tidak suka diperbetulkan depan orang ramai.

.. amat berbeza dengan para akhawat dan wanita tadi yang ‘seronok’ bila berjumpa dengan guru-guru tajwid yang sangat banyak perbetulkan bacaan mereka!

Di sini wahai kaum Adam, saudara-saudara sekalian, saya nak kongsikan sedikit nasihat dan teguran.
Ya, tidak dinafikan, pembetulan secara peribadi adalah lebih baik dan efektif, tetapi Pembetulan tajwid tetap pembetulan tajwid, tetap penambahbaikan dalam ilmu Qur'an. 

Cuma bezanya persepsi kita : bila ditegur depan orang ramai mungkin orang lelaki mudah terasa malu, ego terguris atau tercabar, atau ditakuti atau ‘fobia’ seolah-olah orang lain memandang serong terhadapnya kerana kekurangan upayanya membaca al-Qur’an. 

Wahai saudara sekalian – kuatkanlah jati diri dan azam untuk ikhlas dalam menuntut ilmu, dan membuang ego daripada usaha kita dalam Al-Qur’an. Jangan beri ruangan terhadap syaitan untuk memberi ‘alasan’ kita malas/meninggalkan Qur’an. 
Semua orang bermula buta huruf – tiada orang di dunia ini yang lahir-lahir, terus mahir.
Cuma sesetengah orang diberi didikan awal oleh ibu bapanya atau persekitaran Pendidikan awal yang kondusif, dan - Alhamdulillah – dia mudah membaca bila dewasa.
Kalau kita tidak diberi kesempatan ini semasa kecil, usahlah rasa malu, mulakan sahaja sekarang! 

Bahkan bagi seorang mukmin, perasaan malu itulah yang sepatutnya mendorong kita lebih berazam untuk mantapkan lagi tajwid. 

Tiada siapa yang akan memandang rendah atau serong terhadap anda kalau anda lakukan kesilapan – kalau ada pun, maka yang memandang rendah itu lah yang bersalah di sisi Allah – bahkan mungkin itulah sikap Takabbur yang amat dilarang oleh Nabi, sehingga seseorang yang mempunyai sifat ini walaupun sebesar satu zarah tidak akan masuk syurga. 

Wahai saudara-saudara sekalian, minima 17 kali dalam satu hari – setiap hari – kita meminta kepada Allah dalam surah al-Fatihah :
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
“Tunjukkanlah kepada kami Jalan yang Lurus!”

17 kali Kita meminta-minta hidayah daripada Allah. Dan untuk mendapat petunjuk bagaimana untuk perbetulkan bacaan kitab-Nya adalah satu jenis petunjuk yang Allah berikan melalui hamba-Nya yang lain. 
Kalaulah kita sengaja mengelak daripadanya kerana ego, boleh jadi secara tidak langsung, dengan perbuatan kita, kita menolak hidayah Allah. 

Wahai sahabat-sahabat sekalian, Rasulullah ﷺ bersabda, 

 مَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهْوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ
“Mereka yang mahir dalam membaca al-Qur’an – akan dihimpunkan bersama as-safaratul Kiram (pengutus mulia di sisi Allah – para malaikat);

وَمَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهْوَ يَتَعَاهَدُهُ وَهْوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ، فَلَهُ أَجْرَانِ 
Dan yang membaca dengan susah payah itu, akan diberikan ganjaran dua kali ganda” (HR Al-Bukhari)

Di sini Nabi memberi motivasi kepada kita untuk sentiasa usaha dan tidak berputus asa.
Bayangkan, wahai saudara sekalian – jika anda berusaha dalam bersusah payah bacaan tajwid, akan diberikan ganjaran dua kali ganda.

Soalan : Wujudkah pekerjaan di dunia ni, bila kita baru nak mula, masih terkapai-kapai, slow dan banyak silap, majikan akan bayar gaji dua kali ganda - hanya atas dasar usaha gigih?!

Tidak.. Ganjaran ini semua Hanya daripada rahmat Allah الرحمن الرحيم - tapi mungkin kita yang berpaling, dan kita kurang hargai. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya meng-umum-kan statistik jantina sebegini, i.e. "Gender stereotyping" - kerana saya yakin, mungkin statistik saya kurang tepat, dan memang tidak dinafikan ada sahaja lelaki yang masha Allah sangat suka ditegur dan gigih berusaha dalam penambahbaikan, ataupun sebaliknya mungkin ada juga perempuan yang bersikap ego dan tidak suka ditegur. 
Tetapi saya sengaja nak lebihkan sedikit tegur penekanan kepada lelaki, kerana saya sendiri adalah lelaki dan saya rasa wajar nak tegur geng saya sendiri sebagai satu “wake up call” bila statistik dah menunjukkan trending yang kurang sihat ini. Juga kepada lelaki selaku golongan pemimpin dan ketua keluarga yang perlu sentiasa amalkan contoh terbaik. Dan mungkin juga sebab kadang-kadang kaum lelaki tertidur ketika pesanan dan nasihat penting ketika khutbah Jumaat. Yalah kan, penat.

Ala kulli hal mesej ini adalah satu peringatan kepada diri saya dan juga kepada antum semua – teruskanlah dan tingkatkanlah lagi – usaha dalam memahirkan diri, menguasai tajwid, memahami, dan menghafal al-Qur’an – dan jadilah sebaik-baik manusia seperti yang dikhabarkan Nabi ﷺ :

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ 
“Yang terbaik daripada kamu adalah mereka yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya (kepada yang lain)” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment