Wednesday, March 18, 2020

"Solat Jemaah Ditangguhkan" 😭😭😭

"Solat Jemaah Ditangguhkan" 😭😭😭

Satu Refleksi Perutusan Khas YAB PM (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 16 Mac 2020 Mengenai COVID-19

Sebagai langkah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 ini, semua aktiviti solat jemaah dan Jumaat di tangguhkan dari 17-26 Mac. 

Pada permulaannya, sebenarnya saya berasa sedih dengan pemutusan ini, bukan sahaja kerana terputusnya amalan harian yang terpenting dan paling bernilai di sisi Allah dalam kehidupan kita sebagai Muslim, tetapi secara peribadi, bagi saya solat di masjid menjana banyak amalan produktif yang lain, dan ia jugalah antara aktiviti kekeluargaan "father and son bonding" harian bersama anak saya Muawiyah untuk luangkan masa di masjid, terutama sekali pada waktu isyak. 

Alhamdulillah ala kulli hal, inilah situasi yang ditakdirkan ke atas umat kita, maka atas nasihat daripada kenalan ahli keluarga serta rakan-rakan yang baik, saya ambil keputusan untuk tangguhkan / elakkan kehadiran solat jemaah di masjid, dan berhenti pergi mulai semalam (16 Mac 2020). Terutama sekali setelah di wawarkan bahawa beberapa kes positif dikesan ada kaitan dengan mereka yang hadir perhimpunan ijtimak di Sri Petaling, dan Kami sedia maklum bahawa beberapa jemaah di qariah masjid kami di Miri telah hadir ijtimak tersebut. Akhirnya setelah mendapat arahan rasmi dari PM kita, kita perhatikan mulai hari ini, masjid-masjid pun telah bertindak untuk tutup.

Di sini saya serta kan beberapa peringatan penting untuk diri saya untuk mengambil perspektif yang matang dalam bab ini, dan saya harap semoga ianya dapat memberi manfaat kepada saudara dan sahabat saya yang tercinta, terutama di kalangan kaum lelaki: 


1. Ikhlaskan niat 

Pasangkan niat yang jelas di hati: bila kita buat pilihan untuk tangguhkan solat Jemaah, ia bukanlah “buat alasan" untuk "ponteng solat jemaah". Sebaliknya, kita mengambil keputusan jelas untuk tangguhkan amalan ini buat masa ini, demi kemaslahatan yang lebih besar yakni mengelakkan mudarat yang bakal timbul, di samping menurut perintah kepimpinan (amir) kita dalam menangani wabak ini. Perlu di ingatkan juga bahawa Menahan diri dari sesuatu demi Allah juga adalah ibadah, bukan sekadar “mengelat”. 

Ada yang berhujjah bahawa “kalau sihat, maka pergilah!” – tetapi hakikat wabak ini berbeza, kerana simptom virus ini hanya akan kelihatan dalam 2-14 hari selepas dijangkiti. Seseorang boleh kelihatan “sihat” tetapi mungkin sudah dijangkiti, dan boleh bertindak sebagai “carrier”, kemudian baru ditemui simptom lain. 

Seorang pemain Basketball dalam pasukan Utah Jazz mengambil ringan perkara ini kerana tidak kelihatan simptom Covid19 ini pada dirinya, malah beliau mengajuk bermain-main sehingga menyentuh-nyentuh orang lain termasuk pihak media – dan sebagai akibat tindakan tidak bertanggungjawab beliau, pemain lain juga terkena, dan ternyata, selepas kejadian tersebut beliau sendiri diuji positif dengan penyakit ini sehingga kan NBA bertindak terus menangguhkan musim permainan. 

Bagaimana pula kalau kita dalam kelalaian kita menganggap kita "sihat", boleh secara tidak sengaja menjangkiti orang lain? 

Bertindak atas niat untuk menyelamatkan nyawa orang lain juga adalah ibadah - 

 وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا 
".. dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya." (Surah Al-Ma'idah, 32)

2. Berharap dengan Allah, Mudah-mudahan tetap dikurniakan juga pahala amalan tersebut 

Kalaulah benar kita berazam dan berniat ikhlas untuk solat berjemaah di masjid untuk solat fardhu, maka ketahuilah, para Malaikat sudah mencatit dalam amalan anda bahawasanya anda mendapat pahala penuh solat Jemaah tersebut, insha Allah. Rasulullah ﷺ bersabda, 

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ،
“Sesungguhnya Allah telah mengarahkan bagaimana penulisan amal soleh dan amal dosa itu dicatit, dan kemudian dijelaskan bagaimana iana dicatit:
Maka barangsiapa yang berniat (ikhlas) untuk melakukan satu kebaikan, tetapi tidak Berjaya melaksanakannya, maka Allah akan menulis untuknya pahala amalan yang penuh baginya.
Dan jika ia dapat mengerjakannya, maka Allah menulis untuknya sepuluh sehinggalah tujuh ratus kali ganda pahala amalannya itu, bahkan lebih lagi..” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Tetapi perlu diingatkan di sini – seseorang itu tidak akan mendapat pahala ini sekadar angan-angan kosong sahaja! 

Apa yang mencerminkan sama ada niat kita benar-benar ikhlas? Perhatikan amalan seseorang sebelum berlakunya Perintah Kawalan Gerakan ini. 

Kalaulah seseorang itu amalannya memang istiqamah dan konsisten dalam amalan menunaikan solat fardhu berjemaah di masjid, maka ianya insha Allah adalah hujjah baginya, dan kita berharap agar mereka (kita) tergolong antara mereka yang diberi ganjaran seolah-olah situasi "normal" yang sihat di rumah seperti Sabda Rasulullah ﷺ :

 إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
"Jika seorang hamba sakit atau bermusafir, maka akan dituliskan baginya seperti apa yang diamalkannya ketika ia bermukim dan sihat” 
(HR Al-Bukhari)

Di dalam komentari beliau mengenai hadith ini, Ibnu Hajar Al Asqalani menyebut, 

وَهُوَ فِي حَقّ مَنْ كَانَ يَعْمَل طَاعَة فَمَنَعَ مِنْهَا وَكَانَتْ نِيَّته لَوْلَا الْمَانِع أَنْ يَدُوم عَلَيْهَا
Ianya ialah bagi orang yang ingin melakukan ketaatan/amalan tetapi terhalang dari melakukannya dan dia mempunyai niat sekiranya tiada penghalang, amalan tersebut akan dijaganya. (Fathul Bari) 

  
3. Rilek.. Tok soh la gaduh-gaduh, abe

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah Al-Isra, 53)

Sepatutnya, pada masa musibah pandemik inilah yang memerlukan kita untuk memainkan peranan untuk berkongsi kata-kata positif, menguatkan semangat serta memberi galakkan kepada para sahabat kita dalam berhadapan dengan musibah ini. Inilah ajaran Sunnah Rasulullah ﷺ:

لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَيُعْجِبُنِي الْفَأْلُ ، قَالُوا وَمَا الْفَأْلُ؟ قَالَ: كَلِمَةٌ طَيِّبَةٌ.
Maksudnya: "Tidak ada ‘adwa dan tidak ada tiyarah (kepercayaan sial). Akan tetapi, yang menyenangkanku (membuatkan aku kagum) adalah al-fa'lu".
Para sahabat bertanya: Apakah al-fa'lu itu? 
Baginda menjawab: “Iaitu kata-kata yang baik.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Seronok, tersenyum juga saya bila melihat ramai menggunakan ‘musim’ ini dalam berkongsi pelbagai mesej lawak yang kreatif, seperti gambar graduasi semua sahabat sekelas memakai mask, dan gambar jenaka tentang “realiti” bekerja dari rumah. Tiada masalah dalam bab ini selagi semuanya bersikap hormat dan tidak melampaui batas, terutama sekali bersikap sensitif terhadap mereka yang dijangkiti. 

Sebaliknya pula, sangat sedih memerhatikan reaksi tidak matang di laman media sosial. Ramai mangambil kesempatan untuk mengambil peluang "tumpang glamor" menyebarkan berita palsu dan menakut-nakutkan masyarakat. 
Yang lagi mengecewakan apabila ada di kalangan 'ahli agama', termasuk lah di kalangan orang Awam - yang sepatutnya menjadi tunjang motivasi masyarakat - bergaduh sesama sendiri, menuding jari, mencetuskan konflik hingga umat berpecah-belah dan berpuak-puak, sedangkan saat-saat yang paling memerlukan ikatan ukhuwah, sokongan dan kefahaman sesama kita. 

Wahai sahabatku, inilah masa untuk kita matangkan diri kita. Change begins with you and I. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka terlebih dahulu mengubah diri sendiri. 


Kalaulah tidak mampu untuk berkata sesuatu yang baik, sekurang-kurangnya tidak perlulah untuk merosakkan lagi keadaan. Rasulullah ﷺ bersabda

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka katakanlah yang baik, atau diam sahaja!” (HR Al-Bukhari dan Muslim)


4. Solat awal tetap kena jaga, ya Bang.. 

Tidak menunaikan solat jemaah di masjid bukanlah alasan untuk kita menangguh-nangguhkan solat: Tetap kena solat awal pada waktunya, kerana ianya amalan yang paling dicintai oleh Allah. Disiplinkan diri untuk jadikannya prioriti harian anda, meskipun di rumah.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ـ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏"‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏‏
Abdullah ibn Mas’ud meriwayatkan, aku telah bertanya kepada Nabi ﷺ : “Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah?”
Baginda menjawab, “Solat (awal) pada waktunya”  (HR Al-Bukhari)

Daripada Ummu Farwah yang meriwayatkan : Rasulullah ﷺ telah ditanya, amalan manakah yang paling afdhal (sebaik-baik amalan)? Rasulullah menjawab, 
"الصَّلاَةُ فِي أَوَّلِ وَقْتِهَا"
“(Menunaikan) Solat pada awal waktunya”
(HR Abu Daud, dinilai sahih oleh Al-Albani)‏

Malah, gunakanlah peluang ini untuk berjemaah bersama ahli keluarga di rumah. 


5. Manfaatkan masa dan Kesihatan anda 

Saya sarankan dan ingatkan diri saya serta sahabat-sahabat sekalian yang masih dikurniakan kesihatan, manfaatkanlah masa anda dengan sebaik-baiknya. Janganlah sekadar menghabiskan waktu ini dengan menonton movie marathon dan "binge-watch" siri televisyen semata-mata. 
Sebaliknya, gunakanlah peluang ini untuk mengukuhkan amal soleh kita - terutama sekali bersama ahli keluarga kita yang tercinta dalam situasi "kuarantin" ini - dalam bersiap sedia untuk pertemuan kita dengan Allah, serta mengukuhkan perhubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama mereka yang tinggal sebumbung dengan kita pada zaman kuarantin ini.

Rasulullah ﷺ bersabda :

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua nikmat yang sering ‘maghbun’ (dirugikan) oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (HR Al-Bukhari)

Kata Ibnu al-Jauzi tentang Hadith ini, ''Terkadang manusia itu sehat, tapi tidak memiliki kesempatan luang karena kesibukannya dengan urusan dunia. Ada juga yang memiliki kesempatan luang, namun tidak sehat. Ketika dua hal ini ada pada diri manusia, ternyata membuat mereka malas untuk taat kepada Allah, maka inilah orang-orang yang maghbun.''


Sepertimana yang banyak dikongsi sebelum ini dan saya akan ulangi di sini: 
Statistik dunia menunjukkan daripada mereka yang terkesan dengan COVID19, ada kebarangkalian 3-4% ia akan menyebabkan kematian. 
Manakala statistik sejarah manusia daripada kejadian Nabi Adam menunjukkan bahawa setiap manusia yang hidup, ada kebarangkalian 100% yang kita akan mati. 

Maka apakah yang telah anda persiapkan untuk pertemuan anda dengan Allah? 

Rasulullah ﷺ bersabda: 
اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
“Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara
1. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
2. Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
3. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
4. Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu,
5. Hidupmu sebelum datang matimu.”
(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknys, yang mengatakan bahwa hadits ini shahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkan nya) 

6. Teruskan berdoa agar umat kita kesemuanya dikurniakan al-‘afiyah (kesihatan) di dunia dan akhirat

فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَجُلٌ فَقَالَ‏:‏ يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الدُّعَاءِ أَفْضَلُ‏؟‏ قَالَ‏:‏ سَلِ اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، ثُمَّ أَتَاهُ الْغَدَ فَقَالَ‏:‏ يَا نَبِيَّ اللهِ، أَيُّ الدُّعَاءِ أَفْضَلُ‏؟‏ قَالَ‏:‏ سَلِ اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، فَإِذَا أُعْطِيتَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ فَقَدْ أَفْلَحْتَ
Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah doa yang paling afdhal?”
Baginda bersabda, “Mohonlah Allah untuk Al-Afw (pengampunan) dan Al-‘Afiyah (kesihatan dan kesalamatan) di dunia dan akhirat”
Baginda bersambung, “Apabila anda dikurniakan keselamatan di dunia dan akhirat, maka anda pasti telah berjaya” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Maka jangalah lupa untuk doakan al-afiyah untuk semua umat kita – ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, serta mereka yang telah dijangkiti, sama ada kita kenal secara peribadi atau tidak. Rasulullah ﷺ bersabda, 

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. 
Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: 
'Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)'”. 
(HR Muslim)


Amalkan doa ini pada setiap pagi dan petang:
Abdullah ibnu Umar meriwayatkan bahawasanya Rasulullah ﷺ tidak pernah gagal membaca doa ini pada setiap pagi dan setiap petang: 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَاىَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي وَاحْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَىَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
“Ya Allah, aku memohon kepadamu untuk dikurniakan keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat;
Ya Allah, aku memohon kepadamu untuk keampunan dan keselamatan dalam agamaku, duniaku, keluargaku, dan hartaku, 
Ya Allah, tutupilah aibku, selamatkanlah diriku daripada ketakutan, dan peliharalah aku daripada apa yang ada di hadapanku, di belakangku, daripada kananku dan kiriku, dan daripada atasku, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada ditumpaskan daripada sesuatu dibawahku” 
(HR Ibnu Majah)

7. Ujian dajjal lagi dahsyat 

Reaksi kita pada situasi ini telah mendedahkan sikap bagaimanakah umat kita berhadapan dengan musibah. Maka perlu diingatkan di sini bahawasanya musibah yang paling dahsyat – lebih dahsyat daripada situasi kita sekarang – adalah fitnah/musibah Dajjal, yang setakat ini belum lagi berlaku. Rasulullah ﷺ bersabda, 

مَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلاَّ أَنْذَرَ أُمَّتَهُ، أَنْذَرَهُ نُوحٌ وَالنَّبِيُّونَ مِنْ بَعْدِهِ،
“Allah tidak mengutus seorang nabi pun kecuali nabi tersebut telah memberi amaran kepada umatnya tentang (Dajjal); Nabi Nuh pun telah memberi amaran kepada umatnya, dan semua para Nabi selepasnya” (HR Al-Bukhari)


بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْظُرُونَ إِلاَّ فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوِ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوِ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
"Bersegeralah kalian semua untuk beramal soleh sebelum datangnya tujuh perkara:
Apakah engkau sekalian menantikan – enggan melakukan dulu, melainkan setelah tibanya kefakiran yang melalaikan? 
Atau tibanya kekayaan yang menyebabkan kecurangan? 
Atau tibanya kesakitan yang merosakkan? 
Atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak keharuan lagi? 
Atau tibanya kematian yang mempercepatkan – lenyapnya segala hal? 
Atau tibanya Dajjal - maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu? 
Atau tibanya hari kiamat? Maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit penanggungannya"
(HR At-Tirmidhi yang menilai Hadith ini hasan)

Maka introspeksilah diri kita agar kita kukuhkan iman dan amal soleh kita selagi mana kita dikurniakan kekuatan oleh Allah.


8. Bersikap optimis dan kukuhkan tawakkal kepada Allah 

Jangalah berputus asa dengan Rahmat Allah. Sebaliknya, hadirkan sangka baik (husnu dzon) terhadap Allah dan kuatkanlah iman kita dengan-Nya – Dialah Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Berkuasa – jika dia Izinkan, Penyakit COVID-19 ini boleh dihapuskan sekelip mata sahaja. Tetapi adanya hikmah di sebalik takdir-Nya ke atas kita semua wabak ini masih ada. Maka ambillah ibrah daripada kesemua kejadian yang berlaku, sama ada pada diri kita atau umat kita. 

Firman Allah:

وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Dan boleh jadi, kamu membenci sesuatu, sedangkan ianya baik untukmu,
Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, sedangkan ianya buruk untukmu,
Dan Allah Maha Mengetahui, sedangkan kalian tidak tahu” (Surah Al-Baqarah, 216)

Insha Allah saya yakin, kalau kita rakyat Malaysia semuanya mengambil langkah bertanggungjawab untuk menyokong usaha pemerintah kita dalam menangani wabak ini, dalam masa terdekat beberapa minggu ini ianya mampu dikawal, dikurangkan, malah mungkin mampu dicegah sama sekali. Ternyata, majoriti besar yang dijangkit mampu untuk sembuh dengan izin Allah – yang penting kita tetap disiplin dan sabar dalam situasi ini.

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

“.. dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah! 
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir". (Surah Yusuf, 87)



Dahulu ketika bermulanya situasi Coronavirus ini, saya akui, saya mengambil langkah yang lebih pasif, sikap "wait and see" dan tidak "ambik port" dalam sebarang perbincangan mengenainya. Tetapi Memandangkan situasi ini sudah sampai Peringkat ini saya rasa lebih wajar untuk membuat perkongsian sebagai peringatan yang penting untuk diri saya, dan tanggungjawab saya sebagai mukmin untuk mencintai untuk anda apa yang saya cinta bagi diri saya sendiri, demi kebaikan kita bersama di dunia dan akhirat. 

Jika ada sebarang kesalahan atau kekurangan dalam perkongsian saya ini, saya mohon maaf atas kejahilan diri saya dan mohon agar di kongsikan nasihat serta maklumbalas bagi penambahbaikan diri saya dan sejurusnya pembaca yang lain.

اللهم إنا نسألك العفو والعافية في الدنيا والآخرة 


Saudaramu,

- Faisal @ Abu Muawiyah
17 Mac 2020



No comments:

Post a Comment