Biasanya
bagi mereka yang mepelajari dan mendalami ilmu tajwid al-Qur'an akan
mendengar bahawa di dalam pembacaan
(tilawah) al-Qur'an, kita ada tujuh atau lapan qiraat yang berbeza -
dan kita di Nusantara lazimnya membaca qiraat yang dikenali sebagai
"Hafs an Asim" (yakni, Imam Hafs, yang meriwayatkan daripada imam Asim)
Apakah maksudnya dan implikasinya?
Siapakah kedua-dua invidiu ini dan apakah kepentingan mereka?
Allah berfirman di dalam surah al-Hijr ayat ke-9:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
"Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada engkau (wahai Muhammad), adz-Dzikr (al-Qur'an),
dan Kami-lah yang Pasti akan memeliharanya"
Janji Allah di dalam pemeliharaan Al-Qur'an bukan sahaja dalam memelihara huruf dan perkataan
Al-Qur'an itu semata-mata di dalam penulisan kitab, tetapi juga dalam
- Hafalannya, melalui generasi golongan Islam tidak putus-putus sehingga hari ini, dan sehinggalah Hari Kiamat
- Pemahamannya, yakni penjagaan Bahasa Arab serta tafsir penjelasannya melalui Rasul-Nya
- Cara dan tata tertib pembacaannya, seperti yang telah diwahyukan kepada Jibril Alayhissalam.
Perlu
diketahui bahawa pembacaan Al-Qur'an itu adalah sesuatu yang khusus dan
unik kepada al-Qur'an,
sepertimana yang telah dibaca oleh Jibril (alayhissalam) dan diajar
secara terperinci oleh Rasulullah, dan bukanlah sesuatu yang menjadi
kebiasaan orang Arab, meskipun dalam sya'ir-sya'ir mereka.
Dan di dalam cara bacaan yang diajar oleh malaikat Jibril ini, adanya perincian-perician bacaan
- daripada bacaan yang dipanjang/pendekkan, di-dengungkan, di-gabungkan, dan sebagainya.
Disebabkan
cara-cara pembacaan yang sangat detail ini, Rasulullah telah
mengenalpasti beberapa
sahabat terpilih yang dianggap sebagai 'pakar' dalam bidang al-Qur'an,
oleh itu menyarankan kepada umatnya untuk pelajari bacaan daripada
individu-individu ini. Baginda
ﷺ bersabda:
اسْتَقْرِئُوا الْقُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ مِنَ ابْنِ مَسْعُودٍ وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي
حُذَيْفَةَ، وَأُبَىٍّ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ
"Pelajarilah bacaan AL-Qur'an daripada empat :
1. Abdullah bin Mas'ud
2. Salim, maula Abu Hudzaifah
3. Ubay (bin Kaab); dan
4. Mu'adz bin Jabal"
(HR Al-Bukhari dan Muslim).
Nota: Ini bukanlah bermaksud tiada sahabat-sahabat lain yang pakar di dalam Al-Qur'an; ternyata ramai lagi di kalangan sahabat yang mahir di dalam ilmu Al-Qur'an - cuma di sini secara khusus, Nabi memberi tazkiyah (testimoni) tentang kepakaran empat individu dan menggalakkan umatnya belajar Al-Qur'an daripada mereka.
Siapa pula Imam 'Asim dan Imam Hafs?
'Asim
bin Abi An-Najud adalah seorang 'ulama pakar dalam bacaan Al-Qur'an
yang berasal dari
Kufah, Iraq yang telah meninggal dunia pada tahun 127 atau 128 selepas
Hijrah. Bacaan dia telah dipelajari dengan sanad terus daripada Abu
Abdur-Rahman as-Sulami (meninggal 74 Hijrah) dan Zirr bin Hubaysh
- Abu Abdur-Rahman as-Sulami telah mempelajari Al-Qur'an dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang berikut : Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Talib, Ubayy bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit (radhiAllahu anhum)
- Zirr bin Hubaysh telah mempelajari al-Qur'an daripada Abdullah bin Mas'ud (radhiAllahu anhu)
Ada dua pembacaan yang masyhur daripada Imam 'Asim : Hafs bin Sulaiman (meninggal 190 Hijrah)
dan Syu'bah.
Jadi
sekiranya kita mempelajari hukum-hukum tajwid mengikut "Hafs an Asim"
maka sebenarnya kita
mempelajari hukum bacaan Al-Qur'an melalui sanad ini yang telah diajar
melalui lima sahabat Rasulullah di atas, di mana :
- dua di antara mereka diberikan galakan khusus untuk kita pelajari tajwid daripada mereka (Ubay bin Kaab dan Abdullah ibnu Mas'ud),
- dua di antara mereka (Ali dan Uthman) adalah khulafa ar-Rasyidin para muhajirun antara terawal yang memeluk islam, antara ahli keluarga Nabi melalui perkahwinan (sebagai menantu dan juga bapa mertuanya) dan mendapat keutamaan belajar terus-menerus dengan Rasulullah semenjak peringkat awal turunnya wahyu al-Qur'an, serta
- pakar Al-Qur'an yang diberikan tanggungjawab khusus oleh Khalifah Abu Bakar untuk ditulis selruh mushaf Al-Qur'an: iaitu Zaid bin Thabit.
Asal Usul Hukum Tajwid
Para
'ulama di dalam sanad ini telah membukukan mengikut kategori secara
terperinci tentang
hukum-hukum tajwid untuk memudahkan kita pelajarinya; begitu yang
dibaca oleh Jibril melalui sanad ini, dan begitulah yang dibaca sehingga
hari ni dan sehingga Hari Kiamat.
Manakala nama-nama hukum tajwid (e.g. ikhfa haqiqi, mad lazim, idgham maal ghunnah), ini hanyalah
penamaan dan istilah yang telah diberi oleh ulama Qur'an untuk memudahkan kita fahami metode pembacaan.
Semoga Allah jadikan kita semua tergolong di kalangan sebaik-baik manusia yang sentiasa mempelajari serta mengajar Al-Qur'an kepada yang lain, dan semoa kita semua tergolong di kalangan mereka yang menguasai Kitab-Nya - baik dari segi tata-tertib pembacaannya, hafalannya, maksudnya dan tafsirnya - serta mengamalkan dalam setiap aspek kehidupan kita. Ameen.
Rasulullah ﷺ bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ
الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan
mengajarkannya.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ
مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ
وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
"Mereka yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang
mulia lagi taat (Al-Safarah Al-Kiram Al-Bararah). Adapun orang yang membaca
Al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut & merasa sukar ketika membacanya,
baginya dua pahala".
(HR Muslim)