Monday, August 31, 2015

Cepatkanlah Haji – Nasihat dan Langkah Praktikal

Antara kesalahan besar yang ramai umat Islam zaman sekarang adalah menangguh-nangguhkan dan mengetepikan keputusan untuk menunaikan Haji.

Kebanyakannya menggunakan alasan “tidak mampu”. Ada pula yang agak kerap digunakan, alasan “aku masih berhutang, tak dapat pergi haji”, “susah dapat visa”, atau “tiada masa”, “belum bersedia”, “takde ilmu”, dan sebagainya…

Realitinya, wahai sahabat, kita akan sentiasa ada alasan untuk tidak pergi – pelajar akan kata “nak habis belajar dulu”, orang baru mula kerja akan kata “nak kumpul duit dulu untuk kahwin”, orang baru kahwin akan kata tak mampu sebab “nak biayai kos dua orang mahal”, orang dah ada anak kecil akan kata “anak masih kecil”, orang yang ada anak di sekolah akan kata “anak masih sekolah” atau “anak ramai”, bila dah naik pangkat besar pula dah “taka da masa untuk tinggalkan ofis”, bila dah bersara sudah “tidak sihat”/”kurang mampu” atau “nak jaga cucu”.

Nak seribu daya. 

Ini bukanlah satu perbincangan Fiqhiyyah mengenai definasi “mampu” – ramai ulama lain yang lebih berkelayakan sudah membahaskan isu ini secara terperinci – akan tetapi apa yang disarankan oleh mesej ini adalah SIKAP kita mengenai Haji.


Kita harus ingatkan diri kita semua bahawa Haji adalah Rukun Islam kita – rukun, yakni tiang dalam gelaran “Islam” kita. Kalau kita tidak letakkan prioriti yang tinggi dan ikhlas dalam persiapan ke arah menunaikan Rukun Islam kita, maka sejauh mana kebenaran dan dedikasi dalam pengakuan kita sebagai Muslim?

Apa yang penting di sini adalah kita letakkan USAHA yang di dalam kawalan kita untuk memenuhi tanggungjawab dan hak Allah ini – sama ada kita dapat atau tidak, sama ada benar-benar Allah akan memberi peluang untuk kita jadi tetamu-Nya atau tidak – itu terletak di tangan Allah.

Kalau alasannya “tidak mampu” semata-mata, jadi apa yang anda katakan di sini adalah – kalaulah hari esok, ada orang tawarkan untuk sponsor haji anda, beri visa dengan serta merta, dan tanggung semua perbelanjaan, anda akan “sami’na wa ata’na” (kami dengar dan kami taat), dan terus akan pergi menunaikan haji tanpa alasan lain – sah? Takde halangan lain, bah?

Yang nyata adalah, ramai – apabila sudah mampu dan ada kelonggaran, keluar pula alasan lain.

Jadi yang sepatutnya kita lakukan adalah meletakkan usaha dalam kawalan kita untuk bersiap sedia. Di sini, in sha Allah saya kongsikan beberapa langkah praktikal untuk anda semua :

1)    Tanamkan azam yang ikhlas untuk menunaikan haji – Di samping menjadi salah satu daripada Rukun Islam, Haji adalah di antara amalan-amalan yang paling utama dan dipuji di sisi Allah; ia adalah satu “privilege” – keistimewaan – untuk menjadi Tetamu-Nya (الضيوف الرحمان) dan peluang untuk mendapat balasan hebat di akhirat, serta dihapuskan kesemua dosa kita seolah-olah bayi yang baru dilahirkan. Bila Allah berfirman “وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ” (Maka berbekal-lah (untuk haji); sesungguhnya, sebaik-baik bekalan adalah Taqwa – surah al-Baqarah, ayat 196) – antara elemen yang tergolong dalam definasi “taqwa” yang kita harus bersiap sedia adalah kesungguhan dan keinginan ikhlas untuk menurut perintah Allah dan mencari keredhaan-Nya.

2)    Berdoa degan ikhlas kepada Allah – Doalah sahabat, jangan tunggu imam masjid nak doa, kemudian barulah kita ‘amin’-kan sahaja. Ramai yang mengabaikan doa dan lupa kehebatan ibadat ini. Allah berfirman “Berdoalah (mintalah) kepada-Ku, nescaya Aku akan Perkenankan!” (Surah Ghafir ayat 60). Sama ada harta benda, rezeki dan segala nikmat, autoriti visa – kesemuanya di dalam Tangan dan Kuasa Allah – dan Dia akan Kurniakan kepada siapa Ia Kehendaki. Maka tidakkah wajar kita minta dari-Nya? Tidakkah Dia akan Cinta kepada hamba-Nya, dan memudahkan untuk hamba-Nya yang benar-benar tekun dalam permintaan untuk menunaikan kewajipan-Nya dan mendapatkan keampunan-Nya?

3)    Daftarkan diri anda dengan institusi Haji – Tabung Haji – kalau belum, buat SEKARANG. Pergi ambik half day leave, etc – pandai2 lah. Ya, mungkin giliran anda akan sampai jauh lagi – tetapi giliran ini bukanlah muktamad, dan mungkin masa terlewat yang anda akan dapat. Sentiasa ada kemungkinan besar giliran anda boleh dicepatkan, jika mampu.

4)    Buat simpanan sedikit demi sedikit – sebagaimana ramai meletakkan sebahagian pendapatannya untuk zakat, begitu juga kita letakkan sebahagian lain untuk tunaikan haji. Tepuk dada dan jujurlah kepada diri sendiri : kalau kita mampu berbelanja atas benda-benda yang BUKAN keperluan – seperti gadjet2, ASTRO, holiday, makan luar, dan pelbagai jenis hiburan – di manakah prioriti haji? Bagaimana pula tiada simpanan langsung untuk haji? Set KPI yang serious – RM 300 sebulan, RM900 sebulan, etc – Peluang kita akan lebih cerah jika simpanan kita di akaun tabung haji banyak (RM10,000 minima, tetapi jika RM 25,000 ke atas adalah lebih baik, mudah dipertimbangkan untuk ambil pakej yang kebarangkalian lebih tinggi untuk ada kekosongan).
* tip: Simpanan di akaun Tabung Haji kadangkala memberi pulangan dividen tahunan yang agak lumayan juga, alhamdulillah.. sangat membantu =)

5)    Buat surat rayuan (selepas berdaftar!); ramai sahabat2 kita dapat peluang melalui cara ini. Walaupun ada yang tidak mengesyorkan kita lakukan langkah ini (atas dasar “jangan ambil hak orang lain”) – tetapi keputusan mengendalikan “hak” visa ini bukanlah tanggungjawab kita; fungsi surat ini sekadar memberitahu pihak berkuasa yang “kita bersedia”, dan memudahkan kerja mereka jika mereka ada kekosongan dan ingin mencari bakal Jemaah haji secepat mungkin. Lagipun, bukankah hak kita juga sebagai seorang Muslim untuk percepatkan penyelasaian Rukun Islam kita?

6)    Belajar tentang manasik Haji daripada Sunnah Rasulullah ﷺ – Luangkanlah masa yang serius untuk beri dedikasi anda untuk pelajari Haji. Ramai yang mengambil ilmu haji ini sebagai ringan, dan hanya mempelajarinya pada saat-saat terakhir ketika ingin menunaikan haji. Ramai juga yang – walaupun mereka sudah belajar, mereka tidak tahu cara terbaik untuk tunaikannya seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ - justeri ramai yang  ambil “shortcut” dan “jalan mudah”, dan apabila didatangi oleh isu fiqh yang tidak dijangka, sangkut – akhir sekali banyak amalan salah yang hanya Allah Ketahui, ataupun bergantung sepenuhnya dengan mutawif/ustaz semata-mata, yang kena kendalikan banyak lagi Jemaah dan masalah lain. Wahai sahabat, kemungkinan kita buat haji ini sekali sahaja seumur hidup – sebagaimana Rasulullah sendiri hanya lakukan satu haji seumur hidupnya – dalam satu haji ini, dia telah mengajar cara-caranya dengan sangat terperinci, bagaimana untuk buatkan cara yang paling dicintai oleh Allah – jadi buatlah yang terbaik, bukan yang termudah. Kita boleh luangkan masa bertahun-tahun belajar untuk SPM, belajar untuk degree, tak boleh ke luangkan beberapa jam untuk pelajari Rukun Islam kita?

7)    Untuk yang berhutang, pergilah untuk minta nasihat daripada para ilmuan dan ustaz/ustazah tentang status anda sama ada anda “mampu” menunaikan haji berdasarkan hutang anda – setiap situasi dan sifat hutang berbeza. Menurut kajian saya, untuk hutang yang biasa kita lakukan zaman ini – hutang jangkamasa panjang berkadar, yang tidak terjejas kebolehan kita untuk langsaikannya jika tunaikan haji – ini tidak menjadi penghalang untuk menunaikan haji. Kalau ada halangan hutang yang membuatkan kita "tidak mampu", maka letakkan prioriti tertinggi untuk cepatkan penyelesaian hutang tersebut - kalau bukan kerana haji pun, ketahuilah, Rasulullah ﷺ mengkhabarkan kepada kita, kita akan dihalang daripada masuk syurga kalau mati dalam keadaan hutang tidak selesai - lagi serious!


Rasulullah ﷺ bersabda,
“مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ”
“Barangsiapa yang ingin menunaikan haji, maka PERCEPATKANLAH – kerana mungkin (bila-bila sahaja) dia boleh jatuh sakit, hilang cara pengangkutan, atau ditemui dengan keperluan (yang menghalangnya daripada menunaikan haji pada masa hadapan)”
(Riwayat ibn Majah, darjat hasan)


Semoga Allah jadikan kita di antara tetamu-Nya secepat mungkin dan mengurniakan kita semua Hajj yang Mabrur – Ameen!

Rasulullah ﷺ ditanya tentang apakah amalan yang PALING utama?
Dia menjawab “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya”; kemudian ditanya “setelah itu?”
“Jihad fi sabilillah”; kemudian ditanya, “setelah itu?”
Beliau menjawab, “Haji Mabrur” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah ﷺ bersabda,

“Barangsiapa menunaikan Haji kerana Allah, dan dia tidak mengatakan perkara-pekara buruk, dan tidak melakukan fasiq (kejahatan), maka ia akan kembali (suci dan tidak berdosa) speerti hari ia dilahirkan ibunya” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“(Satu) umrah ke umrah (yang lain) menghapus dosa antara keduanya – dan tidak ada balasan bagi Haji Mabrur, kecuali Syurga” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)