Sunday, October 12, 2014

Hati-hati – Skim Penipuan “Bertuah”

Baru-baru ini, saya bersama isteri dihampiri dengan skim penipuan yang agak handal, di Giant@Permyjaya (Miri). Ingin saya berkongsi agar dapat memberi amaran dan nasihat untuk para sahabat agar tidak tertipu dengan skim yang dirancang dengan sangat teliti ini, kerana skim ini susah untuk ‘ditangkap’.

Sebaik sahaja kami habis membeli belah di Giant, selepas keluar juruwang, kami didatangi oleh dua orang berbangsa Cina, memberi satu kupon kepada saya dan mengkhabarkan tahniah atas mendapat “Free Gift”, dan menyuruh kami untuk menuntut “Free Gift” tersebut di gerai mereka di perkarangan luar Giant. Berulangkali mereka mengesyorkan saya “tidak perlu beli apa-apa”.

Pemerhatian #1 - kupon “Free Gift” ini dalam keadaan renyuk, seolah-olah sudah banyak kali digunakan. Hairan – kalau free gift ni untuk saya, apahal recycle kupon-kupon free gift yang lepas?

OK, takpe, sik hal, jom kita layan cerita dia – apa dia nak kasi. Barang free, aku ok saja. Setelah sampai di gerai mereka, berulang kali mereka menerangkan “tak perlu beli apa-apa” mereka berkata mereka adalah satu syarikat yang baru ‘akan buka kedai di mall ini pada Bulan satu akan datang’, jadi mereka membuat promosi di perkarangan luar Giant buat sementara waktu.

Pemerhatian #2 – ternyata, mereka ini adalah jurujual, tetapi mereka tidak pernah menyebut nama syarikat.

Mereka terus mengeluarkan katalog jualan dan menerangkan produk-produk mereka – sistem penapis air, pencuci vakum, perkakas dapur – kesemuanya harga RM 3,000 ke atas. Sebelum mereka panjang bercerita, saya terus mencelah, “Eh, kejap. Tadi kata nak bagi free gift – mana?”

Pemerhatian #3 – semua barang mahal-mahal. Tapi sebab kita nak cepat, nak free gift, nak balik, kita pun tak sedar untuk persoalkan harga dahsyat barangan ini.


Mereka mengeluarkan dua kupon untuk saya, dan menyuruh saya koyakkan baucer tersebut untuk mengetahui ‘hadiah misteri’ dalam baucer; semua pelanggan akan dapat hadiah secara ‘rawak’. Dia menunjukkan Free Gift yang ditawarkan – jumlah 6 jenis hadiah : baucer diskaun RM50, RM100, ‘free gift’ kuali dan diskaun RM100, etc.
“Ah, koyak lah”.
Sebaik sahaja saya koyakkan baucer kedua, keluar satu baucer yang –jeng jeng jeng – TIADA dalam katalog tersebut – ada gambar pencuci vakum, set pinggan mangkuk, dan “RM100 off”: WOW - free gift yang hebat!
Jurujual berbangsa Cina ini tiba-tiba muka keliru. Dia kata, “wah, ini baucer saya tidak pernah Nampak wo”. Dia bertanya kepada rakan-rakan jurujual dia yang lain, “eh, kalau baucer ini macam, macam mana?” Kesemua jurujual muka terpinga-pinga. Hairan. Wow, bertuahnya.
Jurujual itu kata, selalunya free gift dapat setakat kuali, mangkuk, etc – tapi dapat dua free gift vakum dan set pinggan mangkuk – tak pernah dia lihat, macam ada lain macam. Dia suruh saya tunggu sekejap, dia nak telefon “boss” dia untuk sahkan adakah tawaran ni betul ke tak? Macam “too good to be true” bah.
Dia terus tanya saya “eh, you pernah dapat offer ni kah? You ada kenal saya kah?” Saya pun kata “tidak”
 
Pemerhatian #4 – Mereka buat you rasa sangat bertuah kerana dapat sesuatu yang ‘ajaib’ dan ‘tidak pernah di dengari’.

Jurujual tadi menelefon boss dia dan menerangkan “situasi ajaib” ini. Brader ni kata kepada boss dia “saya tidak tahu wo, saya tidak kenal ini orang – first time jumpa”, dia terus kata kepada saya “You takde kenal sama saya kan?”. Masih dengan muka keliru, dia menyerahkan telefon bimbit dia kepada saya, dan berkata “boss saya mau cakap dengan you”.
Saya pun ambil telefon dia, tengok nama di telefon dia adalah “Mira” – oh okay, Melayu. Cik Mira ni tanya saya macam-macam soalan untuk mengesahkan yang saya ni bukan ‘orang dalam’, dan saya tidak kenal staff dia.
Pemerhatian #5 – Kenapa skeptikal sangat? Nak buat saya rasa bersalah? Jurujual Cina berumur 40-an bekerja dengan boss Perempuan Melayu? Hmm.

Dia menyuruh saya membaca nombor siri dalam baucer “free gift” tadi. Selepas membacanya, dia terdiam sebentar, seolah-olah menyemak rekod. Kemudian dia berkata “ok, cik – cik sebenarnya dapat cabutan yang sangat bertuah – sempena ulang tahun syarikat kami, kami menawarkan lima belas (15) keping baucer di seluruh Malaysia, macam yang encik dapat tadi – dan encik adalah orang kelapan untuk mendapat baucer ini. Jadi cik berhak mendapat dua free gift – satu set pinggan mangkuk dan pencuci vakum air jenama EWAY GERMANY dan FUJISON. Boleh tolong pass telefon kepada staff saya?”

Pemerhatian #6 – kakitangan tidak diberitahu tentang promosi besar ulang tahun syarikat? Boss pula suara suara seakan-akan hairan? Kenapa hairan kalau ada lima belas?
Pemerhatian #7 – teruskan lagi buat you rasa best, masih tidak menyebut nama syarikat. Dalam baucer, dalam kupon, dalam katalog – kesemuanya tidak nyatakan nama syarikat.

Staff tersebut bercakap-cakap atas telefon bimbitnya, masih dalam nada terkejut, dia berkata kepada boss dia, “wah betul ah? Saya bagi dia ah, nanti jangan potong gaji saya ah”.

Kemudian dia berkata kepada saya, “OK boss, ini macam, jadi maksud baucer ini, encik dapat dua free gift ni – vakum cleaner air bernilai RM 3,000, dan set cookware ini bernilai RM3,000, serta potongan RM100 untuk salah satu produk barangan kami”.
Pendek cerita, rupa-rupanya, kena beli barangan dia, dapat “diskaun RM100” baru dapat barangan-barangan percuma ini.
Ternyata, barang-barang dalam katalog mereka kesemuanya berharga RM 3,000 ke atas. Dia cuba meyakinkan saya, dengan membeli barangan ini dengan harta RM 3,000++, saya akan dapat dua barangan percuma bernilai lebih daripada RM 6,000.
Pemerhatian #8 – lihat mainan psikologi di sini : barangkali kita terlalu dibutakan dengan free gift tadi, sehingga kita tidak perasan harga mahal – RM3,000 untuk microwave, RM 3,000 untuk penapis air? RM3,000 untuk vakum cleaner?
Sebelum dapat berfikir panjang, mereka terus mengeluarkan ‘free gift’ yang dijanjikan tadi – depan mata kita. Sedia untuk diangkut ke dalam kereta.

Pemerhatian #9 – itulah satu-satunya stok yang ada di gerai tersebut – jenama E-WAY GERMANY dan FUJISON seperti yang dinyatakan. Mungkin boleh terlintas di fikiran - “bertuah saya”. Tapi ternyata, kotak yang mengandungi barang tersebut kelihatan agak lama, bukan seperti produk baru. 

Mereka kata tawaran free gift hanya sah kalau urusniaga diselesaikan sekarang juga; tak boleh datang kemudian… ‘memaksa’ kita untuk membuat keputusan pada waktu tersebut.
Pemerhatian #10 – tak bagi kita masa berfikir. “Take the free gift offer or leave it”, mungkin di fikiran kita.
Dia menyuruh saya memberikan butiran peribadi, termasuk alamat rumah, agar mereka dapat “menghantar technician untuk datang kalau-kalau perlu baiki peralatan jika rosak – ada warranty 3 tahun”.
Pemerhatian #10 – wah, sungguh-sungguh nak repair barang rosak. “Terasa Best”. 

Pada ketika ini, ternyata ada dua kemungkinan –

1) saya SANGAT bertuah

2) ini adalah satu skim penipuan yang dilakonkan dengan hebat : mereka sebenarnya menjual barang-barang murah, tetapi menipu nilai barangan mereka – skim yang sangat-sangat teliti dirancang, dan dilaksanakan dengan sangat pintar, siap dengan baucer-baucer palsu yang lengkap dengan nombor siri, siap dengan kakitangan siap sedia atas talian.


Saya menolak tawaran mereka dan pulang untuk selidik dengan lebih teliti tentang isu ini.


Ternyata, selepas selidik online, apabila search di google “eway Germany fujison”, eureka! Pelbagai blog peribadi yang menceritakan kes penipuan yang sama!
Memang ramai orang sudah tertipu dengan skim ini, menggunakan modus operandi yang sama: skrip yang sama (e.g. “wah, saya tidak pernah tahu ada baucer sebegini”, “ada tawaran istimewa”), lakonan yang sama hebat, promosi yang hebat: semua pelanggan bertuah belaka.

Mangsa-mangsa yang ditipu dan membeli produk mereka kesemuanya memberi aduan tentang produk kualiti rendah dan cepat rosak, dan langsung tidak seperti yang dikhabarkan.

Con artist ini, mereka sentiasa menukar-nukar nama syarikat dan beroperasi di tempat lain-lain bawah nama syarikat lain. Sebab itu tidak dipromosikan nama syarikat : mereka akan guna kupon/skim sama, berubah-ubah nama di tempat lain-lain.


The Art of Elaborate Deception

Apa yang membuat skim ini lebih bahaya daripada skim penipuan yang lain :

1. Dari segi undang-undang, mereka berani untuk berniaga secara terang-terangan di kompleks membeli belah, kerana mereka tidak melakukan ‘jenayah’ di sisi undang-undang – mereka hanya membuat sedikit lakonan dan meletakkan harga mahal pada barangan murah, dan membuat kita terasa seolah—olah membayar dengan sedikit untuk dapatkan barangan-barangan mahal.
Kalau kita terbeli, maka itu adalah persetujuan harga antara penjual dan pembeli – urusniaga yang sah di sisi undang-undang. Kalau dilaporkan kepada Polis, tidak ada bukti yang boleh menunjukkan mereka menipu. (Atau ada…? Mohon komen/cadangan bagaimana dapat kita basmikan masalah ini!)

2. Hebat teknik-teknik psikologi mereka untuk menjerat pelanggan – konsisten memberikan gambaran pelanggan sangat bertuah dan membuat mereka rasa bertuah; sedangkan sebenarnya ia adalah lakonan semata-mata dari saat pertama.

3. Mereka meminta alamat rumah untuk servis barangan mereka – sebenarnya mereka ingin rekod di mana tempat tinggal kita – kalau tak bayar, mcm mana? Along?

4. Bila ditawarkan dengan barangan percuma (e.g. pencuci vakum “Eway Germany”, set Cookware “Fujison”), kita selalu cuai dan tidak peduli untuk memeriksa sppesifikasi produk tersebut percuma kan, ambik saja lah? Sedangkan barangan tersebut mungkin nilai sangat murah /tidak berkualiti, dan harga RM3,000++ yang akan kita bayar tu jauh lebih mahal daripada harga pasaran sebenar.

Mohon disebarkan kepada sahabat-sahabat dan keluarga, agar kita dilindungi daripada segala bentuk penipuan sebegini.

Kalau ada bertemu dengan orang Islam yang terlibat dalam skim ini yang tergamak menipu orang yang lain, walaupun anda seorang non-Muslim, silalah sound dan nasihat mereka – bertaqwa lah kepada Allah. Jangan guna 'loophole' undang-undang untuk menzalimi harta orang lain, janganlah sia-siakan pahala sendiri, rosak keputusan di Akhirat.

Tiada barakah dalam rezeki yang diambil daripada penipuan. Semoga Allah membalas dengan setimpal, dan membantu mereka yang terjerat dalam skim ini, dan melindungi kita daripada segala bentul penipuan.
Amin.

No comments: