Tuesday, April 09, 2024

🤝🏼 Kenapa para sahabat & salafus-soleh mengucapkan “تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ” sebagai ucapan Eid / Hari Raya? 🤝🏼

 



Jubayr ibn Nufayr meriwayatkan: “apabila sahabat2 Nabi ﷺ saling berjumpa padi Hari Raya (Eid), mereka berdoa sesama sendiri: “تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ” - semoga Allah menerima daripada kami dan juga daripada kamu

(Diriwayatkan dalam Al-Fath, 2/466 - Ibn Hajar berkata sanad ini hasan)

Mengapa para sahabat berdoa sedemikian? Apa significance doa ini, terutama sekali pada Hari Raya?

Di dalam surah Al-Mu’minun ayat 61, Allah menceritakan tentang sekumpulan orang soleh yang bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan:

أُولَٰئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ

“Mereka itu bersegera untuk kebaikan dan merekalah yang segera memperolehnya”

Apakah ciri-ciri golongan ini? Apa yang mendorong mereka begitu tekun dan bersungguh-sungguh?

Pada ayat2 sebelumnya, menjelaskan golongan ini, Allah menggambarkan sifat mereka:

Hati mereka berasa karena takut akan (azab) Tuhan mereka, beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidak berlaku syirik (mempersekutukan sesuatu dengan Allah).

Sehinggalah sampai ayat ke 60, Allah menggambarkan, 

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ

“membelanjakan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (mengetahui) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” (23:57-61)

Mendengar ayat-ayat ini, A’isya bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang ungkapan ringkas ini: وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ, “hati mereka takut”. A’isya hairan:

“Mengapa mereka takut? Adakah mereka berdosa seperti minum arak, berzina atau mencuri dan takut akan diazab?”

Rasulullah menjawab, “Tidak, wahai anak As-Siddiq! Bahkan, sebaliknya, mereka inilah orang yang (mengerjakan amal soleh, seperti) puasa, menunaikan solat, dan bersedekah.

Mereka lakukan semua ini, sedangkan mereka berasa takut: yang amalan-amalan mereka tidak akan diterima oleh Allah: merekalah yang bersegera dalam kebaikan”

(HR At-Tirmidzi, Ibnu Majah)

Perhatikan: Mereka bukan takut sebab dosa mereka. Bahkan, mereka beramal soleh.. Cuma, mereka takut amalan mereka tidak diterima.

Okei.. so, apa di sebalik mindset & pemikiran mereka ni?

Bayangkan, kalau syarikat kita, boss kita, dah declare awal tahun, pada bulan April: “Ok, tahun ni prestasi kau dah confirm cemerlang.” Kalau guru atau lecturer kita, awal2 sem sebelum peperiksaan dah declare kita dapat gred A+..

Bagaimana agaknya sikap kita?

Holiday la. Tak payah la usaha! Result dah setel, bah!

Naluri manusia ni, kalau kita tahu semua amalan kita diterima kita akan MALAS.

Sebaliknya, tatkala kita tak pasti dah confirm atau tidak, kita akan usaha lebih sikit. Mana la tahu, tak cukup, kualiti kurang bagus.. kena topup lebih. Kasi ngam.

Mereka sentiasa ada perasaan takut yang PRODUKTIF: Sebab mereka takut mamalan mereka tidak diterima, mereka lagi berssungguh-sungguh. Jadi, tatkala habis Ramadan, mereka bukan tinggal semua. Mereka tetap akan follow up dan istiqamah, sebab tak pasti: terima ke tidak amalan aku ni?

Inilah mindset orang-orang soleh terdahulu: Sifat tawadhu & merendah diri.

Pada satu sudut, mereka berbaik sangka dengan Allah: mengetahui Allah Maha Kaya, Maha Dermawan, Maha Penyayang, Maha Pemberi.

Manakala pada sudut yang lain pula, mereka berburuk sangka dengan diri sendiri. Mereka tidak sangkakan amalan mereka hebat. Sebaliknya, mereka rasa diri mereka banyak kekurangan - mungkin ada kecacatan pada niat, keikhlasan, atau tatacara amalan soleh mereka. 

Atas dasar itulah, seorang sahabat Nabi ﷺ, Abu Darda (radhiAllahu anhu) pernah berkata,

“Andailah aku tahu Allah menerima SATU solat yang aku kerjakan, maka itu lebih baik untukku daripada kesluruhan hidupku dan segala apa yang ada di dalamnya! Ini adalah kerana Allah berfirman:

  إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya, Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Maidah 5:27)

Dan, apakah matlamat di sebalik ibadah puasa, dan Ramadan secara keseluruhannya? 

Tidak lain, tidak bukan, untuk membina TAQWA.


Perhatikan: Abu Darda sendiri tidak yakin yang dia adalah seorang yang bertakwa, apatah lagi sama ada segala amalan-amalannya diterima atau tidak.

Diriwayatkan juga ada sebahagian salaf mengatakan: Andai aku tahu Allah terima satu SUJUD daripadaku, nescaya aku akan mohon untuk dimatikan segera.

Kerana mereka tahu, Allah Maha Pengampun, Maha Mengurniakan - dan pada masa yang sama, mereka khuatir kelemahan diri mereka sendiri.

Kita perhatikan pula contoh taqwa yang lagi hebat: KhaleelUllah, Nabi Ibrahim (alayhissalam).

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِـۧمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَـٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ١٢٧
Dan, tatkala Ibrahim membangunkan asas bangunan Baitullah (Ka’bah) bersama (anaknya, Nabi) Ismail, (Mereka berdoa):

"Wahai Tuhan kami, terimalah (amal) dari kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui".

(Surah Al-Baqarah, 127)

Inilah manusia yang paling dicintai oleh Allah, sedang membangun masjid. Bukan sebarang masjid. Andailah kita dapat peluang menyumbang pembinaan masjid, nescaya kita akan rasai itu satu pelaburan yang besar. Tapi yang ibrahim dan ismail bina ini bukan sebarang masjid. Bukan calang-calang. Mereka membina Ka’bah: Masjidil Haram. Masjid yang diziarahi oleh berjuta-juta umat Islam setiap tahun, sehingga hari ini. Mereka bina, di tengah-tengah padang pasir tanpa pembangunan sekeliling.

Amalan yang mereka lakukan ini cukup HEBAT.

Kalaulah ada amalan yang kita boleh kata, “confirm Allah terima”, maka inilah dia.

TAPI.. mereka tetap memohon Allah, berdoa: رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ - Wahai Tuhan kami, TERIMALAH daripada kami.

SubhanAllah.

Kalau amalan hebat, daripada manusia2 hebat seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mereka tidak pernah over-confident yang amalan mereka dah diterima, maka apatah lagi saya dan anda? Kita yang iman cukup lemah ni, amal soleh berapa kerat je, dengan usaha kerdil ni.

Sebab itu lah, para sahabat mendoakan doa ini setelah selesai Ramadan:

Pada satu sudut, mereka mengucapkan tahniah. Setelah berakhirnya musim ibadah yang terbesar dalam setahun, setelah meletakkan usaha yang gigih, dan bersangka baik dengan sahabat lain, pasti kamu ada yang berusaha dengan lebih baik.

Juga penuh dengan perasaan tawadhu - “aku tak tahu kalau Allah terima amalan aku atau tidak”.

Bagi mereka - seperti diri saya - yang merasa usaha sangatlah lemah, maka kita berharap, yang Allah terima serba sedikit, usaha yang tidak seberapa ini, dan kurniakan keberkatan ke atasnya.

Kerana pada masa yang sama, yang lebih utama, doa ini menggambarkan mereka bersangka baik - husnu dzon - dengan ALLAH, yang akan mengurniakan sebaik-baik balasan, di dunia dan akhirat.

Hebat, doa ni, kawan2. Jom kita biasakan diri kita menyebut-nyebut doa ini kepada ahli keluarga dan sahabat2 kita. Mungkin awal2 kita akan rasa janggal sikit, sebab tak biasa sebut. Tapi kalau kita practice sikit demi sedikit, insha Allah jadi mudah.

Alhamdulillah, selesai sudah Ramadan tahun ini. Dengan itu, saya doakan, untuk diri saya, keluarga saya, dan anda semua:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

“Semoga Allah menerima daripada kami, dan juga daripadamu”   

-Faisal أبو معاوية sekeluarga

No comments: