Sambutan Hari Raya Eid-ul Fitr (atau lebih dikenali
sebagai “Aidilfitri” dalam kebiasaan bahasa kita) adalah satu perayaan
yang besar dan penting dalam syari’at Islam.
Nabi Muhammad
ﷺ
datang ke Madinah dan penduduk Madinah sewaktu Jahiliyah terdapat dua hari sambutan untuk perayaan dan bersuka ria.
Jadi baginda, Rasulullah
ﷺ
bersabda,
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan hari-hari perayaan dan bersuka ria ini dengan sesuatu yang lebih baik:
Eid ul Adha (Hari Raya Qurban) and Eid ul Ftir (Hari Raya Fitrah)”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa’I, sahih)
In sha Allah di sini kita akan bentangkan
perkongsian ringkas untuk cara-cara sambutan dan erti sambutan Eid-ul
Fitr menurut ajaran Islam
· Sunnah-sunnah Eid
1. Takbir
2. Mandi Sebelum Solat Raya
3. Memakai Pakaian yang Cantik dan Bersih
4. Makan terdahulu sebelum solat
5. Solat Eid & Cara-cara solat
6. Seluruh Keluarga Mendatangi Solat
7. Berjalan Kaki ke Tempat Solat
8. Mengambil Jalan Berlainan untuk pergi dan pulang ke/dari tempat solat
9. Solat di Tempat Lapang (jika ada)
10. Menyebarkan Ucapan Baik sesama sendiri
11. Bergembira
1. Menziarahi Sanak Saudara
2. Haram Berpuasa pada Hari Eid (1 Shawal dan 10 Dzulhijjah)
3. Solat Tahiyyatul Masjid dahulu jika solat Eid di masjid
4. Teruskan Qiyamullayl dan amalan kebajikan selepas Ramadhan berakhir!
Asal Usul Nama Eid-ul Fitri
Maksud lisan kepada “Eidul Fitr” adalah daripada perkataan “عيد”dan “الفطر”
Eid “عيد”
- bermaksud “perayaan” yang “berulang-ulang”; ia diambil daripada asal-usul yang membawa maksud “kembali” atau pengembalian
Al-Fitr “الفطر” – “fitrah” bermaksud keadaan asal, tanpa dosa, seperti kata Nabi
ﷺ
: “Setiap satu bayi yang lahir, lahir dalam keadaan Fitrah” (Riwayat Abu Daud, Muslim)
Jadi secara lisannya, “عيد الفطر” membawa maksud “pulang kepada fitrah”; dan perayaan ini menandakan
harapan yang besar untuk orang-orang Islam bahawa amalan-amalan mereka pada bulan Ramadhan telah
diterima oleh Allah, sehingga dosa-dosa mereka diampun oleh-Nya dan oleh itu mereka pulang kepada keadaan suci daripada dosa, seperti keadaan
fitrah, laksana bayi yang baru lahir.
Sabda Rasulullah
ﷺ
“من
صام (قام) رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه”
“Barangsiapa
yang berpuasa / qiyam (solat malam/tarawih) pada bulan Ramadhan dengan
IMAN dan Mengharapkan balasan daripada Allah, maka akan diampunkan semua
dosa lalunya”
(Mutafaq alayhi, Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh atas dasar itu lah, kebiasaan para sahabat Rasulullah
ﷺ
akan mengucapkan sesama sendiri :
" تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ "
“Semoga Allah menerima [amalan-amalan] daripada kami, dan juga daripada kamu”
Alhamdulillah dengan perayaan yang disyari’atkan
oleh Allah ini, syari’at islam juga meletakkan garis panduan untuk
amalan-amalan pada Hari Raya ini daripada sunnah Rasulullah
ﷺ, dengan cara-cara yang paling diredhai dan disukai oleh Allah.
AMALAN SUNNAH PADA EID
*Amalan-amalan sunnah ini juga merangkumi Eid Al-Adha (Hari Raya Haji/Qurban) juga
1. Takbir
Firman Allah :
ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون
"Dan
hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir
mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya
kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah:185)
Antara amalan yang amat disyari’atkan dan amat-amat
digalakkan pada Hari Eid (1 Syawal untuk Al-Fitr) adalah perbanyakkan
bertakbir –
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika
terlihatnya hilal (anak bulan, pada malam Raya 1 Syawal) dan berakhir
setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai
berkhutbah (selepas solat sunat raya).
Daripada az-Zuhri: "Sesungguhnya Rasulullah ﷺ
keluar pada hari 'Eid al-Fitri lalu bertakbir sehingga
sampai ke musolla (tempat solat Raya) dan sehingga selesai solat apabila
selesai solat Baginda menamatkan takbir".
(Silsilah al-Ahadits as-Shahihah:1/331, al-Albani)
Riwayat daripada az-Zuhri menyebut bahawa para
sahabat bertakbir apabila keluar dari rumah menuju ke tempat solat lalu
berhenti bertakbir apabila selesai solat. (Riwayat Ibn Abi Syaibah)
Bacaan Takbir
Ada beberapa riwayat yang berlainan tentang takbir
Raya; antaranya - diriwayatkan daripada sahabat Rasulullah, Abdullah ibn
Mas’ud - beliau akan melafazkan takbir seperti berikut:
الله اكبر الله اكبر لا اله الا الله والله اكبر الله اكبر ولله الحمد.
“Allah Maha Besar (2x); tiada sembahan (yang berhak disembah) selain Allah dan Allah Maha Besar;
Allah Maha Besar dan Bagi Allah-lah segala puji dan Shukur”
(Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab Solat al-'Eidain)
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir
disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan
solat Aidilfitri.
"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya
Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir
dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat
walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah
ini." – (Sheikh Al-Albani rahimahUllah; RujukKitab Meneladani Rasulullah
ﷺ
Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari)
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan
menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika
menuju ke tempat solat.
2. Mandi Sebelum Solat Raya
Disunnahkan mandi sebelum solat hari raya berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar:
أنه كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
“Bahawa beliau (Ibn Umar) mandi pada hari raya eid fitri sebelum menuju ke tempat solat.” (Riwayat Malik di dalam al-Muwatta)
Sa'id Ibn Musayyab (salah seorang ‘alim antara tabi’in besar, pelajar kepada sahabat Rasulullah) - beliau berkata:
“Perkara Sunnah pada hari raya ada tiga:-
1. Berjalan kaki ke musolla (tempat solat Raya),
2. Makan sebelum keluar,
3. Mandi” (Diriwayatkan dalam 'Irwa al-Ghalil karya Al-Albani, Sanadnya Shahih).
Sepertimana juga Hari Jumaat, termasuk Sunnah dalam
mempersiapkan diri ke tempat solat hari raya ialah dengan mencabut bulu
ketiak, mencukur kemaluan, memotong kuku dan memakai minyak wangi bagi
lelaki.
3. Memakai Pakaian yang Cantik dan Bersih
Memakai pakaian yang cantik dan terbaik yang
dimiliki. (Tidak semestinya BARU, tetapi yang disunnahkan ialah yang
terbaik yang dimiliki)
Daripada Jabir (radhiallahu'anh) katanya:
"Nabi ﷺ
mempunyai sehelai jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat". (Shahih Ibn Khuzaimah)
Imam Ash-Shafi’ee berkata:
"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian
terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat,
dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis
(seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai
baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."
(Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam ash-Shafi’ee, jil. 1)
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian
yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat
hari raya.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai
pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai
pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan
sehingga menarik perhatian golongan lelaki.
Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah
ﷺ:
"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia
melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya,
dia adalah penzina." – (Riwayat an-Nasa’i)
"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh
memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun
perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja
perhiasan." –
(Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1)
4. Makan sebelum solat
Disunnahkan kaum muslimin menjamah sedikit makanan
sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan
menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ
“Adalah Rasulullah ﷺ
tidak keluar pada pagi hari Raya sehinggalah makan beberapa biji tamar (dengan bilangan ganjil)...”
(Riwayat Al-Bukhari)
Menurut al-Muhallab
"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum
mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat
bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri
dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah
ﷺ
ingin menutup prasangka semacam ini." (Rujuk Fath al-Bari, jil. 5)
5. Solat Eid
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut
Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh
seluruh umat Islam.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri berkata:
"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah
ﷺ
akan keluar menuju musolla (tempat solat). Perkara pertama yang
dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami
solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum
yang sedang duduk di dalam saf mereka.
Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." (Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Abbas r.a berkata:
"Rasulullah ﷺ
telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan
solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang
solat sebelumnya dan sesudahnya." – (Riwayat Al-Bukhari)
Cara-cara Solat Eid
Diriwayatkan dalam Muwata Malik
عَنْ
نَافِعٍ، مَوْلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ شَهِدْتُ
الأَضْحَى وَالْفِطْرَ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَكَبَّرَ فِي الرَّكْعَةِ
الأُولَى
سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الآخِرَةِ خَمْسَ
تَكْبِيرَاتٍ قَبْلَ الْقِرَاءَةِ
Abdullah ibn ‘Umar mengatakan dia menyaksikan (Solat Eid) Al-Adha dan Al-Fitr bersama Abu Hurairah;
dia bertakbir sebanyak tujuh kali pada
rakaat pertama sebelum bacaan Qur’an (Al-Fatihah),
dan sebanyak lima kali pada rakaat terakhir (i.e. kedua) sebelum bacaan Al-Fatihah.
6. Seluruh Keluarga Mendatangi Solat Eid
Sebagai tanda kebesaran pada Hari Raya ini,
Rasululllah sebenarnya menyarankan agar kesemua ahli keluarga mendatangi
solat Eid – termasuklah kesemua ahli keluarga, perempuan dan
kanak-kanak, walaupun sekadar menyaksikannya dan memperoleh
keseronokan berjumpa dengan kaum Muslim yang lain, serta memanfaatkan
khutbah yang akan diberi.
Syari’at kita menggalakkan orang perempuan agar
jangan duduk dirumah atau didapur, atau menonton TV sebaliknya hendaklah
ikut kaum lelaki dan suami keluar solat atau menyaksikan orang solat.
Umm Atiyya (radhiAllahu anha) meriwayatkan:
“Rasulullah mengarahkan kepada kami semua untuk
membawa semua wanita pada hari (eid) Al-Fitr dan Al-Adha, dan untuk
membawa sekali kesemua wanita muda, termasuklah mereka yang didatangi
haid.
Akan tetapi perempuan yang didatangi haid tidak
ke tempat solat, tetapi di sana untuk memperhatikan kebaikan dan jemaah
(kumpulan) sekalian Muslimin” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya
di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah
seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama
(bersua muka) dua kali dalam setahun.
Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak.
Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh
khusyu’, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang
seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah
dengan penuh ikhlas.
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu,
merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada
mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." –
(“Koreksi Total Ritual Shalat”, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan)
7. Berjalan Kaki ke tempat solat
Menuju ke tempat solat dengan berjalan kaki jika mampu. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA yang menyebut ;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يخرج إلى العيد ماشيا ويرجع ماشيا
“Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam
keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang ke rumah
dalam keadaan berjalan kaki.” (Riwayat Ibn Majah dengan darjat hasan)
Berkata Imam at-Tirmidzi : Perbuatan daripada
hadits ini di sisi ahli ilmu; digalakkan seseorang lelaki keluar rumah
dengan berjalan kaki dan digalakkan supaya tidak menunggang (kenderaan)
melainkan dalam keuzuran.
8. Pergi dan Pulang ke/dari tempat Solat dengan Jalan berbeza
Jabir bin Abdillah (radhiAllahu anhu) menyebut ;
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
“Adalah Rasulullah ﷺ, pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan pulang) dari solat
hari raya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Antara Hikmah daripada mengambil jalan yang
berlainan ketika pergi dan pulang, ketika di mana ramai kaum Muslimin
berkumpul di tempat-tempat solat Raya adalah ianya dapat meriahkan
suasana dengan berjumpa dan bersalaman dengan orang Islam
lain.
9. Solat di Tempat Lapang (jika ada)
Solat di padang atau di tanah lapang.
“Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar
menuju ke tempat solat pada hari 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha di
padang atau tanah lapang.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hikmahnya ialah supaya solat dan khutbah dapat
disaksikan oleh semua orang dan diikut serta oleh para wanita dan
kanak-kanak baik yang haid atau yang suci.
Perlu diingatkan di sini, bahawa walaupun
Rasulullah boleh mengadakan solat Eid di Masjidnya, Masjid An-Nabawi –
antara masjid yang paling mulia dan tinggi ganjarannya (di dalam hadith
diriwayatkan pahala digandakan 1,000 kali ganda)
- tetapi baginda tetap memilih kawasan tanah lapang (bukan masjid)
untuk diadakan solat Eid, menandakan keutamaan memilih kawasan lapang
sebagai tempat solat.
Namun sebahagian fuqaha' mengatakan, bersolat hari
raya dalam masjid sekiranya hujan dan lain-lain keuzuran yang tidak
memungkinkan ia dilaksanakan di padang atau tanah lapang.
10. Menyebarkan Ucapan Baik-baik Sesama Sendiri
Mengucapkan ucapan tahniah dan mendoakan satu sama lain apabila berjumpa.
“Apabila para sahabat Rasulullah ﷺ
bertemu pada Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain :
تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُم
“Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu.”
(Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.)
Namun di sisi Imam Ahmad, ianya hanya sekadar harus
dan tidak disyariatkan. Walau bagaimanapun amalan ini termasuk dalam
sunnah umum apabila ziarah dan bertemu sesama muslim disamping
mengucapkan salam, bersalam-salaman dan memberikan hadiah
kepada orang yang diziarahi.
11. Bergembira
Disunnahkan untuk bergembira pada hari raya dan
bersyukur atas nikmat Allah SWT dan banyak memuji dan membesarkan Allah
SWT. Terdapat banyak riwayat yang menyebutkan tentang keharusan nyanyian
atau memukul gendang atau permainan pedang
dizaman baginda Nabi
ﷺ. Ianya tidak dilarang kerana meraikan kegembiraan orang ramai.
Justeru memberi duit raya atau bermain dan sebagainya yang tidak menyalahi batas hukum syarak adalah diharuskan.
Seperti yang disebut dalam hadith pertama di atas, Rasulullah
ﷺ
sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira
apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sebagai ganti untuk
hari kegembiraan yang disambut pada zaman jahiliyah.
Syeikh Sayyid Sabiq berkata:
"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak
melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik
(dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh
Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani
dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." (Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2_
Nota lain tentang Hari Raya Eidul Fitr:
1. Menziarahi Sanak Saudara
Menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sesama
kaum muslimin adalah diharuskan bagi mengeratkan ukhuwah dan
silaturrahim namun amalan ini hendaklah berterusan kerana tidak ada
dalil yang jelas mengkhususkan amalan ziarah pada hari raya
sahaja; sebaliknya dilakukan pada sebarang kesempatan waktu.
Fadhilatnya sangatlah besar; seperti sabda Rasululllah
ﷺ
:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perbuatan menziarahi pada hari raya termasuk adat
yang baik apabila semua orang bercuti dan dapat berjumpa dengan kenalan
lama, keluarga yang jauh dan sebagainya.
2. Haram Berpuasa pada Hari Eid (1 Shawal, 10 Dzulhijjah)
Berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah
ﷺ
bersabda: "Tidak ada puasa pada dua hari raya; 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha". (Shahih Bukhari:1197)
Berkata Imam an-Nawawi dalam syarah Shahih Muslim:
Telah ijmak para ulama' atas pengharaman berpuasa pada dua hari ini atas
setiap perkara, samada puasanya itu merupakan puasa nazar, thatawwu',
kifarah dan sebagainya.
3. Puasa Enam Hari Pada bulan Shawal
Sabda Rasulullah
ﷺ:
"Sesiapa yang melengkapkan berpuasa pada bulan
Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Shawal,
seolah-olah dia telah berpuasa setahun." – (Riwayat Muslim)
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di
bulan Shawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah
memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut
(bermula pada 2 Shawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh
para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam
Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang
bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia
juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah.
4. Solat Tahiyyatul Masjid dahulu!
Jika solat di masjid, disunnahkan untuk tidak duduk selagi belum menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Nabi
ﷺ bersabda ;
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
“Jika kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah duduk sehingga solat dua rakaat.” (Riwayat Al-Bukhari)
5. Teruskan Qiyamullayl dan semua amalan baik yang dilatih sepanjang Ramadhan!
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah
bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah
terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya
diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat
tahajjud.
Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat
mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) serta amalan kebajikan yang
baik yang telah dilakukan pada Ramadhan seperti bacaan Qur’an, sadaqah,
zakat, dan sebagainya –
terutama sekali solat berjemaah di masjid - berkekalan pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.
تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُم
“Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu.”
No comments:
Post a Comment