Monday, January 04, 2016

TANDA-TANDA ANDA (BENAR-BENAR) CINTA KEPADA RASULULLAH

Adakah anda mencintai Rasulullah ? Do you love the Prophet 

Saya berkira, kalau kita ajukan soalan ini kepada para Muslimin, setiap Muslim yang ikhlas pasti akan mengaku bahawa dia mencintai Rasulullah. 

Lebih-lebih lagi kerana mencintai Rasulullah itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman kita sebagai seorang Islam. Rasulullah  bersabda :

"‏ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ‏"
“Tidak beriman seorang pun daripada kalian, sehinggakan aku lebih dicintainya lebih daripada bapanya, anaknya dan keseluruhan manusia” (Al-Bukhari, Muslim)


Namun, bagi kita yang mengaku kita "cinta Nabi", sejauh manakah kita buktikan dakwaan kita ini? Sesiapa sahaja boleh mengaku dia cinta Rasulullah. 

Tetapi sejauh mana kita “walk the talk?”



Allah: berfirman

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢
وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٣

"Adakah manusia berkira, bahawa mereka boleh sekadar berkata "kami beriman", sedangkan mereka tidak diuji?
Maka demi sesungguhnya, Kami telah menguji golongan sebelum mereka - dah Allah telah Dedahkan mereka yang berkata benar, dan Dedahkan siapa yang berdusta"
(Surah Al-Ankabut, 2-3)

Bak kata pepatah - “Actions speak louder than words”

Sekadar muhasabah diri, di sini saya timbulkan beberapa persoalan : Bagaimanakah sikap kita kalau kita benar-benar mencintai / menyayangi seorang?

Dengan mengambil sikap/perasaan tersebut, buat satu perbandingan - Adakah kita bersikap sedemikian terhadap Rasulullah ?

1.    Rasa seronok dan suka dengar tentangnya


Mungkin ada di kalangan kita yang menyimpan gambar orang yang disayanginya di dalam dompet mereka ataupun dalam “wallpaper” telefon bimbit masing-masing: gambar bini, gambar suami, gambar anak. Mengapa simpan gambar mereka? Adakah kerana kita lupa wajah mereka? Sudah tentunya tidak. Sebab orang menyimpan gambar mereka adalah kerana kita suka diperingatkan tentang mereka; sebarang peringatan tentang mereka akan mendatangkan perasaan suka, seronok dan/atau “jiwang” – barangkali akan membuat kita lebih semangat dalam saat-saat kesusahan atau stress.

Tetapi berapa ramai di antara kita berasa seronok apabila diceritakan tentang Rasulullah ? Berapa ramai di antara kita yang, apabila merenungkan kembali tentang baginda, terus terasa sejuk hati, terasa rindu, terasa suka. 
Berapa ramai di antara terlalu suka mendengar tentangnya, sehingga kita sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengenalinya, mengenali sirah baginda, mengenali perjuangan baginda?

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا
“Demi sesungguhnya, terdapat di dalam Rasulullah – satu contoh teladan/ikutan yang baik – bagi sesiapa yang ingin bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan sentiasa mengingati Allah dengan banyak” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Kita sepatuanya lebih bersemangat untuk mendengar tentangnya, dan lebih mengenalinya dengan mendalam.

Apa yang kita dapati pula adalah, kadangkala dalam perbualan seharian, apabila disebut “Rasulullah”, kadangkala ada yang akan terasa “awkward” kerana membincangkan sesuatu yang “terlalu serious” – inikah tanda kita cinta kepada seseorang?

Rasulullah bersabda,
فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
“Dan barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Fikirkan logik ini, tuan-tuan dan puan-puan : anda sangat sayang kepada anak anda – dan apabila ditanya tentang anak anda, dan pencapaiannya, anda tak nak bercakap lagi sebab terasa kurang selesa kerana ini topik yang ‘terlalu serious’.

Maka dengan perasaan suka mendengar namanya, maka akan timbullah perasaan berikut:


2.    Ingin Kenalinya, tahu lebih lagi tentangnya dan kata-katanya


Kita lihat zaman sekarang – di mana jumlah besar di kalangan umat kita, tersangatlah ta’asub dengan artis, dengan ahli politik, dengan pemain bola sepak.. kita terlalu banyak tahu tentang mereka. Kalau pemain bola sepak ‘favorite’ mereka, mereka akan tahu berapa umurnya, asal usulnya, berapa game dah main untuk kelab ni, berapa gol dalam musim itu, etc. Kalau peminat artis muzik, siap akan tahu sejarah band, main instrumen mana, tulis lagu mana, single mana masuk carta, apa hobi, apa makanan kegemaran, kahwin dengan siapa, “skandal” pun kita tahu – naudzubillah.

Tetapi bagaimana sikap kita dengan ilmu tentang Rasulullah ? Sejauh mana kita kenal sahabat-sahabat baginda? Ahli keluarganya? Barangkali kalau kita ditanya “siapakah 10 sahabat Rasulullah yang dijanjikan Syurga”, ternganga kita nak jawab. Mungkin kalau ditanya, namakan isteri-isteri Rasulullah, otak jam.

Kadangkala kita hanya ambil tahu tentang sirahnya bila ada “musim” sahaja – Ceramah khas sempena Maulidur Rasul, Ceramah khas sempena maal hijrah, sempena isra mi’raj, etc.

Atau lagi teruk yang kita lihat sekarang, kita hanya ambil tahu tentang baginda bila adanya musuh Islam menyerang baginda atau maruah baginda. Bila dah ada buat kartun, bila ada tuduhan terroris, bila ada tuduhan ajaran ekstrim, tuduhan ‘pedofil’ (na’uzubillah), ‘gila kuasa’, etc – baru terhegeh-hegeh nak buka buku untuk ‘defend’. Kalau takde kutukan, takdelah ilmu. 

Beginikah sikap kita mengetahui tentangnya? Tentang peribadi dan akhlaknya?

Kalau benarlah kita sayang kepadanya, nescaya kita akan proaktif dalam mengambil tahu tentangnya dan mengambil pengajaran dan inspirasi daripadanya.
Begitu mudahnya kita boleh dapati hadith-hadith sahih dan kitab sirah baginda – di Appstore, Google Play store, di Google – tetapi sejauh mana kita betul-betul manfaatkan? Sejauh mana kita baca?

Adakah masa yang kita luangkan untuk baca hadith/nasihat baginda sama banyak dengan 1% daripada masa yang kita luangkan di Facebook/WhatsApp?


3.    Ceritakan tentangnya, suka mendengar tentangnya dan semangat sebarkan kata-katanya dan tentangnya

Datuk saya, yang baru meninggal dunia 3 tahun yang lepas – adalah seorang yang sangat disanjungi dan disayangi di kalangan ahli keluarga saya. Sekali sekala, akan ada di kalangan group WhatsApp keluarga kami, pakcik atau makcik yang akan terkenangkan menyebut tentang beliau, akan terasa rindu kepadanya, atau terasa sedih kerana terkenangkan impiannya yang tidak tercapai. Dan selalunya bila tersentuh hati mereka, mereka mula lagi menyebut-nyebut kisah lamanya dan membuat ahli keluarga lain lebih lagi rasa rindu dan sayang.

Teringat juga dahulu sewaktu belajar di zaman universiti, saya pernah tinggal bersama seorang teman sebilik yang begitu minat Manchester United. Dia terlalu minat dengan kelab tersebut, siang dan malam dia akan ceritakan tentang pemain-pemain dalam pasukan tersebut – sedangkan saya tak minat bola. Saya buat muka malas layan pun, dia tetap cerita juga.. atas dasar semangat “fanboy” team favorite dia.

Sejauh mana kita semangat untuk sebarkan tentang kisah hidup Rasulullah dan hadith baginda? Tanpa mengira sama ada orang layan atau like? Berapa ramai di antara kita ada sikap seperti teman sebilik saya dalam sebaran pasukan yang disanjunginya tu – “Peduli apa kalau orang layan tak layan – aku nak sebarkan sebab aku sayang kepadanya”.
Bahkan mungkin kita terasa malu untuk sebarkan kata-katanya, sebab orang akan kata kita ni “bajet alim” atau “berlagak ustaz”?

Berapa ramai yang apabila terlihat satu kebaikan, teringat peristiwa Rasulullah di mana baginda lakukan kebaikan sedemikian. Apabila melihat cara peradaban yang mulia, cara bergaul dengan keluarga/masyarakat/sahabat, teringat kepada Rasulullah.

Tetapi jarang sekali kita ‘sembang’ tentang Rasulullah , atau tentang seerahnya. Kita lebih suka bercerita tentang makanan, hal ehwal politik, hal ehwal kerja, masalah kenaikan cukai dan harga – lebih daripada menceritakan tentang Rasulullah.

Kadangkala kita tengok di Facebook dan laman media sosial yang lain, bila orang sebarkan ungkapan daripada mana-mana ahli falsafah, tokoh barat, ahli bisnes, tokoh sejarah, mahupun seorang “ustaz” atau selebriti – cepat sahaja mereka “like”, “share” dan “re-tweet”. Tapi bila lihat Hadith sahih, kata-kata Rasulullah , jarang sekali orang ‘share’ atau ‘like’.
Bahkan sedikit sekali walaupun di kalangan mereka yang mengaku Ahlus Sunnah – menyebarkan hadith baginda .
Segan, katanya. Malu. Malu dituduh “bajet nak jadi ustaz la tu”, atau “amboi, dah start kongsi-kongsi hadith ni – macam la alim sangat”.

Kalau benar anda sayang – sebarkan hikmahnya, dan ilmunya. Manusia masih jahil tentangnya, dan mereka berhak untuk mengambil manfaat daripadanya.

Rasulullah bersabda,
نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَبَلَّغَهُ فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أَحْفَظُ مِنْ سَامِعٍ
"‏ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي فَبَلَّغَهَا فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ غَيْرِ فَقِيهٍ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ‏"
 “Semoga Allah cerahkan wajah (memberi kebaikan) kepada orang yang mendengarkan hadith kami (kata-kataku), kemudian menghafal, mengingat serta menyampaikannya sesuai dengan yang didengarnya itu.
Ada di antara mereka yang ada ilmu, tetapi tidak punyai pemahaman, dan mungkin ada pula yang menyampaikan ilmu kepada seseorang yang lebih memahami daripadanya”
(Hadith Riwayat ibn Majah, Abu Daud dan At-Tirmidzi)



4.    Ingin meniru gayanya – walaupun dikutuk, diperli atau dipandang serong oleh orang lain.


Sewaktu saya membesar, saya seringkali akan cuba untuk “tiru” gaya ayah saya. Cara sikat rambut, cara ikat tali kasut, cara pemakaian, cara senyuman. Sebab inilah gaya seorang yang saya kagumi, saya hormat.

Yang berleluasa sekarang, perasaan kagum dan hormat ini dibawa masuk ke dalam keghairahan orang kita dalam mengikuti ‘idola’ dan ‘artis idaman’ mereka. Berapa ramai orang yang begitu ghairah dengan “Rambut Beckham” atau “Rambut Bieber”. Berapa ramai yang terikut-ikut gaya “Tudung si fulanah atau fulanah”.
Yang ingin melibatkan diri dengan sesetengah ‘kumpulan’ – seperti kumpulan ‘emo’, ‘punk’, ‘gotik’, atau ‘indie’, dan sebagainya – kita dapat lihat, mereka sanggup menggayakan diri dengan pemakaian yang pelik-pelik: demi mengikut artis kesayangan mereka, demi ikut trend. Walaupun mereka akan dikutuk, walaupun mereka sendiri tahu yang ianya nampak pelik atau tidak cantik – tetapi mereka tetap akan buat: atas dasar penyanjungan mereka terhadap artis dan trend yang mereka taksub ni. 

Tetapi sejauh mana kita ingin meniru gaya Rasulullah ? Dalam penampilannya, gaya percakapannya, akhlaknya, sikapnya?
Realiti pahit adalah, kadangkala kita MALU untuk menunjukkan penampilan sunnah. Kita berasa malu nak menyimpan janggut. Kita berasa malu untuk memakai seluar atas buku lali. Yang perempuan berasa malu untuk menutup aurat. Kita reka macam-macam alasan, kita korek macam-macam fatwa, untuk membolehkan kita ‘dikecualikan’.

Syari’ah kita – melalui Rasulullah -  sudah beri garis panduan yang terperinci untuk penampilan dan adab..
Kalau benarlah kita cinta kepadanya, peduli apa kalau orang kata kita tak hensem atau tak lawa.  “Kekasihku yang suka dan redha aku berpakaian sebegini.”
Kalau benarlah Rasulullah yang kita kasihi, maka penampilan syari’atnyalah yang menjadi definasi “hensem” dan “lawa” disisi Allah.

Sabda Rasulullah
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang meniru gaya sesuatu golongan/kaum/kelompok – Maka dia tergolonglah di kalangan mereka!”
(Riwayat Abu Daud, dinilai hasan sahih oleh Al-Albani)

5.    Taat kepadanya


Sebenarnya dalam konteks kecintaan kepada Rasulullah , inilah aspek yang paling penting: mentaatinya.

Kalaulah benar ikhlas kita menyayangi seseorang yang kita hormati – contohnya, terutama sekali ibu, ayah, suami dan sebagainya – sudah tentunya ada keinginan untuk taat dan patuh kepada permintaan mereka, agar mereka redha dan suka kepada kita. 
Kalaulah Ayah menyuruh kita ke kedai untuk membeli roti, adakah kita akan pertikaikan permintaan mereka dan mencabar mereka - “mak, suruhan Ayah ni, hukum dia sunat ke wajib ya?”. Ataupun kalau mak kita minta kita hantarnya ke bank, kita berpaling dan berkata, “tak mengapalah – ini sunat je”.

Saudara-saudari sekalian, tepuk dada tanyalah iman: kalau kita buka kitab hadith – contohnya Kitab Riyadus Salihin atau Hadith 40 Imam An-Nawawi – dan kita lihat salah satu suruhan atau nasihat Rasulullah , apakah sikap kita? Adakah kita akan bersemangat dan berlumba-lumba untuk menghidupkan sunnahnya? Untuk taat kepadanya? Untuk ikut tuntutannya? Adakah kita akan benar-benar fikirkan secara ikhlas cara-cara untuk mengamalkannya?

Contohnya - Mungkin ada yang kidal – tetapi bila tahu yang Rasulullah melarang makan/minum dengan tangan kiri, mereka paksa juga diri mereka untuk menggunakan tangan kanan, walaupun ‘tak biasa’ dan ‘susah’?

Ataupun perasaan kita hanya mengabaikannya dan berpaling? Barangkali kita mencemuh anjuran tersebut dengan sikap remeh – cuba “korek” fatwa minoriti yang menurut hawa nafsu kita, walaupun ia bercanggah dengan suruhan dan kehendaknya?

Rasulullah bersabda :
كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، إِلاَّ مَنْ أَبَى ‏"‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ ‏"‏ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى ‏"‏‏.‏
“Kesemua orang di kalangan umatku akan masuk ke Syurga – kecuali mereka yang enggan / menolaknya”
Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Siapa yang enggan (masuk syurga)?”
Rasulullah berkata, “Barangsiapa mentaatiku, maka dia akan masuk Syurga – dan barangsiapa yang ingkar terhadapku, maka dialah yang enggan”
(Riwayat Al-Bukhari)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan mereka yang ulil amri (dipertanggungjawabkan untuk mempimpin kamu)
Dan jika kamu berselisih sesama sendiri mengenai sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya, kalaulah kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhir.
Itu adalah yang terbaik untuk kamu dan sebaik-baik kesudahan” (Surah An-Nisa, ayat 59)

6.    Suka apa yang dia suka, benci apa yang dia benci


Satu tahap yang lebih tinggi daripada ‘taat’ – bukan setakat kita ikut perintahnya dan tinggalkan larangannya – kalaulah kita benar-benar mencintai dan menyayangi seseorang – isteri, suami, Bagi mereka yang punyai sifat empati dan sensitif terhadap seseorang yang mereka sayangi/kasihi – kadangkala benda yang dia suka, kita akan paksa juga diri kita suka..
Kadangkala pula, ada tabiat kita yang mereka tak suka, kita susah untuk kikiskan tabiat tersebut, tetapi sebab ia membuat mereka rasa tidak suka, kita sanggup juga tinggalkannya.

Walaupun mereka tidak ‘suruh’ atau ‘mengarahkan’ kita lakukan sedemikian – walaupun ianya bukan wajib – Tetapi dalam kesungguhan kita menggembirakan mereka, sebab kita ingin jaga hati mereka, kita usaha lebih lagi.

Berapa ramai di antara kita yang benar-benar lakukan sedemikian? Berapa ramai kita letakkan komitmen yang tinggi dalam mengamalkan perkara mustahab/sunnah yang bukan wajib sebab ini adalah sesuatu yang disukai oleh Rasulullah?
Mungkin ada yang buat komitmen, setiap kali solat di masjid, mesti gosok gigi dan berwangi-wangian, kerana ini adalah kesukaan baginda, etc…

Benarkah amalan kita mencerminkan “preference” – keutamaan – terhadap amalan/perwatakan yang Rasulullah suka? Adakah kita mencerminkan kebencian atau ketidak selesaan terhadap sesuatu, kerana baginda tidak menyukainya?


7.    Bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya


Satu perasaan yang saya pasti, dikenali oleh mereka  yang punyai cahaya mata – terutama sekali kaum ibu. Perasaan “protective” terhadap anak atau ahli keluarga kita kita. Sebarang keadaan yang adanya kebarangkalian anak kita akan cedera/dimudharatkan, sudah pasti akan mendatangkan perasaan tidak senang hati. Kalau perkara bahaya yang nyata, sudah tentu akan buat kita melompat untuk mempertahankan mereka.

Kita tidak ada peluang untuk mempertahankan Rasulullah secara fizikal. Kita tidak mungkin ada peluang untuk bersamanya di medan perang, melawan musuh-musuhnya yang cuba untuk membunuhnya, atau mempertahankan maruahnya daripada dihina oleh kaum Kafir Quraysh yang menghinanya pada zaman awal penyebaran Islam.

Tetapi kita boleh pertahankan sunnahnya. Kita boleh pertahankan penyebaran hadith maudhu (palsu) – pendustaan ke atasnya.
Peduli apa kalau orang yang menyebarkan hadith palsu itu adalah seorang ustaz atau selebriti – ini kekasih kita, dan dia berdusta atas kekasih kita.

Rasulullah bersabda,
إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"‏‏.‏
“Sesungguhnya berdusta ke atasku tidaklah sama dengan berdusta atas orang lain.
Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja, maka bersiap sedialah tempatnya di Neraka!” (Riwayat Al-Bukhari)

Kita boleh juga pertahankan maruahnya – daripada dicemari oleh golongan-golongan anti-Islam.

Tetapi perlukah kita tunggu baginda diserang – baru nak pertahankan? Adakah sikap menuntut ilmu tentangnya secara reaktif ini satu simbol yang kita benar-benar ingin pertahankannya daripada musuhnya?
Sepatutnya KITA yang ambil sikap proaktif menceritakan kebaikannya kepada orang ramai, sebelum timbulnya fitnah ke atasnya.


8.    Berdoa untuknya


Saya yakin, kalau ada di kalangan kita yang ada ahli keluarga atau sahabat/guru yang kita sangat sayangi, sudah tentu kita akan sentiasa doakan kebaikan untuknya – yang masih hidup, mahupun yang sudah meninggal dunia. Terutama sekali kalau yang sudah meninggal itu adalah ibu/bapa kita sendiri. Apabila terkenangkan jasa mereka, kasih sayang mereka, pasti terlintas di hati kita untuk mendoakan kepada Allah untuk keamanan, keselamatan, kebahagiaan mereka.

Bagaimana pula sikap kita dalam berselawat kepada Rasulullah ? Berapa kerapkah kita berdoa ke atasnya dan berselawat?
Sedangkan fadhilat selawat itu sendiri untuk kebaikan kita sendiri.

Rasulullah bersabda: 
‏ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً ‏"‏
“Mereka yang paling rapat dengan ku di kalangan manusia pada Hari Kiamat adalah mereka-mereka yang paling banyak berselawat kepadaku" (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang menilainya sebagai Hasan gharib)

مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
“Barangsiapa yang berselawat (berdoa untukku) sekali, Allah akan berselawat (berdoa untuk kebaikan) ke atasnya sebanyak sepuluh kali” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dengan darjat sahih)



*Perlu disebut di sini juga – selawatlah dengan cara-cara dan bacaan/lafaz yang diajar oleh Rasulullah: itulah yang terbaik dan paling afdhal untuk kita. Terlalu banyak ajaran zaman sekarang, bermacam-macam jenis selawat daripada sumber yang tidak diketahui, dengan fadhilat-fadhilat yang direka tanpa ada sandaran sahih, sedangkan Rasulullah sudah mengajar terus-menerus cara untuk selawat ke atasnya.

Kesimpulan


Itulah sahabat, hanya 8 aspek ringkas daripada ‘cinta’ / ‘kasih sayang’ kepada seseorang, yang seharusnya kita muhasabah diri kita sama ada kita benar-benar amalkan dalam pengakuan kita mencintai Rasulullah.

Saya pasti banyak lagi aspek kecintaan yang tidak dirangkumi oleh penulisan ringkas dan usaha kerdil ini – tetapi menurut pemahaman saya, secara minima, saya yakin, kalau aspek-aspek ini sahaja yang dapat kita hidupkan dalam amalan harian kita, maka sekurang-kurangnya kita adalah sedikit hujjah di hadapan Allah pada Hari Kiamat, apakah BUKTI kita cinta kepada kekasihnya, al-Khaleel, Habeebullah, Muhammad , dan bukan tuntutan palsu semata-mata.


Sama-samalah kita tanamkan perasaan cinta yang benar terhadap baginda, mudah-mudahan dengan kecintaan inilah kita dihimpunkan bersamanya. Terimalah berita baik, kata-kata Anas ibn Malik, dan perasaan gembiranya bila ada peluang dan harapan untuk bersama Rasulullah – walaupun amalan kita tidak seberapa.

Anas ibn Malik (radhiAllahu anhu) meriwayatkan:
قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى قِيَامُ السَّاعَةِ فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الصَّلاَةِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ قَالَ ‏"‏ أَيْنَ السَّائِلُ عَنْ قِيَامِ السَّاعَةِ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ الرَّجُلُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ مَا أَعْدَدْتَ لَهَا ‏"‏ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَعْدَدْتُ لَهَا كَبِيرَ صَلاَةٍ وَلاَ صَوْمٍ إِلاَّ أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ وَأَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏"‏ ‏.‏ فَمَا رَأَيْتُ فَرِحَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحَهُمْ بِهَذَا
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah , dan dia berkata – “ya Rasulullah! Bilakah as-Sa’ah (hari kiamat)?”
Kemudian Rasulullah   mendirikan solat; dan setelah habis menunaikan solat, dia berkata, “Di manakah penyoal yang bertanya tentang as-Sa’ah?” Kemudian Lelaki itu menjawab, “aku, ya Rasulullah”
Dan Rasulullah menjawab, “Dan apakah yang telah kau buat persiapan untuknya?”
Lelaki tersebut menjawab, “Ya Rasulullah! Aku tidaklah membuat persiapan yang besar daripada (amalan-amalan soleh seperti) Solat dan Puasa (tambahan), kecuali aku benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya.”
Kemudian Rasulullah menjawab, “Seseorang itu akan bersama sesiapa yang dia cintai – dan engkau akan bersama sesiapa yang kau cintai”
Anas menjawab, “Dan aku tidak pernah lihat kaum Muslimin lebih gembira selepas menjadi Islam daripada kata-kata ini!”
(Riwayat At Tirmidzi yang menilainya sebagai hadith Sahih)

قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Anas berkata, “Dan tidak ada apa yang menggembirakan kami selepas memeluk Islam lebih daripada kegembiraan yang kami rasai oleh kata-kata Rasulullah   – “Sesungguhnya, engkau akan bersama sesiapa yang kau cintai”
Dan Anas berkata, “Oleh itu, aku mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan Abu Bakar dan Umar – dan aku berharap bahawa aku akan bersama mereka : walaupun amalan aku tidak seperti amalan mereka” (Riwayat Muslim)


Mencapai tahap "cinta Rasulullah" ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kita nukilkan nasihat Nasiruddin Al-Albani dalam 

"Jalan menuju Allah itu sangatlah jauh, sedangkan kita berjalan diatasnya bagaikan kura-kura. 
Namun, bukanlah tujuan kita untuk sampai ke destinasi. 
Akan tetapi, tujuan utama kita adalah agar kita mati dalam keadaan masih tetap di atas perjalanan tersebut"

It's a lifelong process. A journey. Tapi insha Allah, yang penting kita cuba - dan berharap agar kita mati dalam keadaan tersebut. 

Semoga Allah membangkitkan kita di kalangan pengikut Rasulullah pada Hari Kiamat, dan menempatkan kita semua dan ahli keluarga kita di Jannatul Firdaus bersama Rasulullah , sahabat-sahabatnya, dan mereka yang benar-benar mencintainya.. Ameen.


No comments: