Istiqamah itu bukanlah sesuatu yang mudah. Betapa ramai di kalangan manusia yang, pada permulaan perjalanan mereka di atas Jalan Allah, ataupun melalui sesuatu musibah yang Allah turunkan kepadanya untuk kembali ke Jalan-Nya, selepas mendapat taufiq-Nya, mereka bersemangat berkobar-kobar dan berapi dalam jalan Agama – mereka mula menuntut ilmu bertubi-tubi, mula solat, mula rajin ke masjid, dan sebagainya.
Namun selepas sekian lama, setelah diuji dengan sedikit cabaran, sedikit kesibukan, persekitaran yang kurang kondusif, orang-orang yang melemahkan semangat, ditambahkan sedikit tanggungjawab mereka, lama-kelamaan syaitan memperdayakan mereka lalu mereka “burnout”, putus asa dan lemah.
Bahkan kadangkala bila Allah sudah beri sedikit kesenangan hidup dan meringankan musibah yang dilandakan ke atas mereka, mereka mula lalai dan hilang semangat ibadah yang ada pada mereka ketika mula-mula ditimpa musibah.
Ada di kalangan sahabat-sahabat saya pun, mereka yang perkenalkan saya kepada jalan Agama, Jalan Sunnah – tetapi kini tidak lagi kelihatan semangat pada diri mereka.
Maka di sini saya ingatkan diri saya dan antum semua, istiqamah-lah di Jalan Allah; tetap teguhlah atas jalan kebaikan dan mencari keredhaan-Nya dan berwaspadalah kepada perangkap-perangkap syaitan dan tipu helahnya untuk memesongkan kita dari jalan Allah.
Kita kena ingat, kalau kita terasa ‘penat’ – ketahuilah, syaitan tidak merasa penat untuk cuba sedaya upaya mematahkan semangat kita dalam apa jua cara.
Hal ini mengingatkan satu hadith Rasulullah ﷺ yang cukup menggerunkan. Baginda bersabda:
فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، حَتَّى لاَ يَكُونُ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ إِلاَّ ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُ النَّارَ
“Sesungguhnyaada di kalangan kamu, seseorang yang beramal dengan amalan ahli penghuni Syurga – sehingga jaraknya hanya (seolah-olah) satu hasta atau satu depa dengan Syurga; kemudian dia didahului dengan apa yang ditulis untuknya, dia beramal dengan amalan ahli neraka – lantas masuklah ke dalam Neraka.” (HR Al-Bukhari)
Sebab itu kita perlu sentiasa kuatkan iman dan taqwa kita, dan jangan leka dalam perjalanan hidup kita mencari redha Allah di dunia ini. Rasulullah ﷺ bersabda,
“إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ”
“Sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun kecuali hatinya di antara dua jari Allah; barangsiapa yang Dia inginkan, Dia akan kuatkan (hatinya), dan barangsiapa yang Dia Ingin, Dia akan sesatkan.”
Lantas apabila isterinya, Umm Salamah ditanya, apakah doa yang seringkali diucapkan oleh Rasulullah ketika baginda bersamanya. Umm Salamah berkata,
“ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”
“Wahai Yang Membolak-balikkan hati, teguhkan hatiku atas agama-Mu”
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi, hasan)
Ketahuilah, Allah Tidak sekali-kali akan mensia-siakan usaha kita – mereka yang istiqamah dan tetap berpegang teguh di jalan Allah walau apa pun cabaran, musibah atau persekitaran mereka, maka untuk golongan ini, Allah akan turunkan para malaikat-Nya pada saat kematian kita, untuk menyambut mereka dengan kata-kata yang indah, dan khabar berita Jannah dan kembali kepada keredhaan Allah..
“إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ”
“Sesungguhnya, mereka yang berkata “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka ISTIQAMAH (atas pengakuan mereka), maka Allah akan menurun-nurunkan ke atas mereka Malaikat (sewaktu saat kematian mereka, dan berkata) “Janganlah kamu takut, dan janganlah kamu bersedih – bergembiralah dengan berita Syurga yang telah dijanjikan kepadamu!” (Surah Fussilat, ayat 30)
Antara langkah-langkah istiqamah yang biasanya dinasihati untuk kita istiqamah di jalan Allah:
• Sentiasa berdoa kepada Allah untuk dikuatkan hati dan dilindungi daripada Syaitan – “Dan jika Syaitan mengganggumu dengan satu gangguan, maka mintalah perlindungan dengan Allah” (Surah Fussilat, ayat 36)
• Sentiasa berada di lingkungan orang-orang soleh – sama ada keluarga atau sahabat kita, orang di persekitaran kita ada kesan terhadap tahap amal kita. Dan pada masa yang sama KITA sendiri mainkan peranan diri kita untuk menjadi sahabat yang baik kepada sahabat dan keluarga kita – terutama sekali sebagai seorang suami, isteri, ayah dan ibu. Rasulullah bersabda “Seseorang itu berada di atas deen (agama/cara hidup) sahabat baiknya, jadi berwaspadalah siapa yang dia ambil sebagai sahabat baiknya” (Hadith Riwayat Abu Daud, dinilai hasan oleh Al-Albani).
• Sentiasa mendampingi diri dengan Al-Qur’an dan Kata-kata Rasulullah ﷺ, dan ilmu yang berkenaan dengannya - inilah sebaik-baik hidayah yang mendidik kita dan menguatkan kita atas Sirat Al-Mustaqim. Dalam kesibukan dunia dan keburukan yang berleluasa, ilmu inilah yang mengingatkan kita kepada jalan yang sebenar sepatutnya kita ikut dan jangan hanyut dan terpengaruh dengan persekitaran kita.
• Mengambil manfaat daripada kisah para salafus soleh, terutama sekali daripada seerah Rasulullah ﷺ . Selain itu, pelajarilah juga biografi para sahabat, para imam, tokoh-tokoh ulama terdahulu yang diuji, termasuklah imam Al-Bukhari, Imam An-Nawawi, Imam Ahmad, dan sebagainya. Ketahuilah – dengan kita mempelajari kisah benar orang-orang soleh ini, dalam kejayaan mereka meredah keadaan yang lebih mencabar dari kita, MUSTAHIL kita tidak terasa inspirasi dalam diri kita untuk berubah. Daripada kita menghabiskan masa dengan kisah fiksyen dan dongeng yang berleluasa di media masa dan hiburan masa kini, lebih baik kita kembali kepada kisah benar sebaik-baik manusia ini.
• Buangkan aktiviti dan perkara yang tidak bermanfaat dan membuang masa – terutama sekali dalam aktiviti-aktiviti hiburan – sekalipun ia tidak semestinya “haram”. Rasulullah bersabda, “daripada kesempurnaan Islam (seseorang), adalah dia meninggalkan perkara yang tidak ada manfaat baginya” (HR At-Tirmidzi, hasan). Dengan kita mengikis aktiviti hiburan daripada hati kita, maka mudahlah untuk kita isi kekosongan hati itu dengan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah pasti akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik.
Inilah di antara langkah-langkah mudah dan praktikal untuk kita ikuti untuk istiqamah – yang dinasihati kepada saya, dan saya kongsikan kembali.
Semoga Allah menjadikan kita istiqamah di Jalan mencari keredhaan-Nya, sehingga kita bertemu dengan-Nya.
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“Wahai Tuhan Kami! Janganlah kau palingkan hati kami setelah Kau beri Hidayah kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami daripada Rahmat-Mu! Sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (nikmat dan rezeki)” (Surah Al-Imran 3:8)
No comments:
Post a Comment