Tuesday, February 02, 2016

Riya' - Mengapa digelar sebagai "Syirik Kecil" atau "Syirik Tersembunyi"?

Mengapakah “Riya’” disebut sebagai “syirik kecil” atau “syirik tersembunyi”?

Bukankah syirik itu menyembah berhala, tokong, patung, dan sebagainya…? Jadi apa kena-mengenanya dengan menunjuk-nunjuk amalan ibadah kita?

Syirik adalah menyekutukan sesuatu objek/makhluk dengan Allah. Apabila ada sesuatu itu adalah milik Allah Semata-mata, dan seseorang itu memberikan hak itu kepada orang lain, maka itu adalah meletakkan “Sekutu” dengan Allah.
Mengambil contoh ‘berhala’ tadi, apabila seseorang menyembah atau bersujud kepada objek atau berhala, Hak untuk disembah dan disujud adalah Hak Allah semata-mata – oleh itu, sembah terhadap makhluk selain daripada Allah adalah mengadakan sekutu dengan-Nya lantas adalah satu bentuk Syirik.

Jadi apa kaitannya dengan Riya’? Definasi Riya’ adalah mengerjakan amalan ibadah dengan niat untuk mendapatkan kepujian dan penghargaan daripada manusia. Berbeza dengan takabbur/kibr (sombong/berlagak atau angkuh), dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri) – ini adalah kategori yang lain.

Oleh kerana Hak untuk mengurniakan bahasan pahala atas amal ibadah adalah Hak Allah Sahaja, maka apabila seseorang beribadah dengan niat Riya’ - melakukan amal ibadah untuk mendapat kepujian dan penghargaan manusia – maka Dia seolah-olah mengharapkan “balasan” itu daripada manusia sebagai sekutu dengan Allah. Maka dengan itulah ianya Syirik

Hal ini dibuktikan daripada Hadith Rasulullah ﷺ:
“Perkara yang aku paling takuti untuk kamu adalah syirik tersembunyi”
Rasulullah ditanya, “Apakah syirik tersembunyi, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab, “Riya' – Allah akan berfirman pada Hari hamba-hambanya akan dibalas untuk segala amalannya,
“Pergilah kau kepada mereka yang kamu nak menunjuk-nunjuk amalanmu di dunia – dan carilah kalau ada dengan mereka sebarang balasan (pahala)” 
(Hadith Riwayat Musnad Ahmad)

Di dalam hadith Qudsi pula, Rasulullah ﷺ bersabda:
“قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِي غَيْرِي تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ ‏"”
“Allah Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman :
“Aku Maha Kaya dan Bebas daripapada sebarang sekutu.
Barangsiapa yang beramal dan menyekutukan-Ku dengannya, Aku akan tinggalkannya dan biarkannya sahaja dengan siapa yang dia sekutukan dengan-Ku” (Hadith Riwayat Muslim)

Sungguh bahaya amalan riya sehinggakan Rasulullah ﷺ mengkhabarkan tentang golongan yang PERTAMA yang akan dimasukkan ke dalam neraka, dan salah satu daripadanya adalah seorang ‘aalim (berilmu), dan mengajarkan ilmu agama kepada orang lain, dan membaca Al-Qur’an.
Dia akan berkata kepada Allah, “Sungguh, aku membacanya (dan mengajarnya) untuk-Mu (ya Allah)!”
Allah akan berfirman 
“كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ،”
“Kau berbohong! Sebenarnya, kau menuntut ilmu dan mengajarnya agar dikatakan tentang kamu, ‘dia seorang ‘aalim’;
dan kamu membaca Al-Qur’an (dengan baik) agar dikatakan tentang kamu, ‘dia seorang Qari (pembaca Quran)’”
Dikatakan sedemikian, kemudian akan diarahkan agar dia diheretkan atas mukanya sehingga dia dicampakkan ke dalam Neraka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Para ulama memberi komentar tentang hadith ini dan mengambil pengajaran yang amat tegas dan keras – bayangkan, disebabkan Riya’, seorang mu’allim dan ‘aalim di kalangan ‘ulama’ akan masuk neraka DAHULU sebelum Fir’awn, Abu Jahal dan Abu Lahab.

Bahayanya riya’ kerana hakikatnya, ia sesuatu yang amat tersembunyi – dikatakan ianya seolah-olah “semut hitam yang berjalan atas batu hitam di kegelapan malam” – kerana ianya sesuatu yang hanya Allah sahaja ketahui. Pada zahirnya, amal ibadah itu akan kelihatan sama sahaja – sama ada ikhlas atau riya’, dan mustahil kita ketahui niat sebenarnya. 
Dan kadangkala niat kita yang pada asalnya ikhlas, tetapi bila kita mula lalai dan mula terjebak inginkan pujian manusia - terus bertukar menjadi ma'siat kepada Allah.

Sebab itu perkara yang paling merisaukan Rasulullah tentang umatnya adalah Riya’. Bayangkan, dahsyatnya fitnah dan musibah Dajjal; sehingga di dalam satu hadith, baginda bersabda, “aku memberi amaran kepadamu tentangnya (dajjal), dan tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan, kecuali dia memberi amaran tentangnya; sesungguhnya (nabi) Nuh (pun) memberi amaran kepada kaumnya!” (HR Al-Bukhari).

Akan tetapi sedahsyat-dahsyatnya Dajjal, di dalam lagi satu hadith, Rasulullah bersabda:
“أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفُ عَلَيْكُمْ عِنْدِي مِنَ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ”
“Mahukah aku khabarkan kepadamu sesuatu yang AKU LEBIH TAKUTI UNTUKMU DARIPADA AL-MASIH AD-DAJJAL?”

Baginda bersabda, “الشِّرْكُ الْخَفِيُّ أَنْ يَقُومَ الرَّجُلُ يُصَلِّي فَيُزَيِّنُ صَلاَتَهُ لِمَا يَرَى مِنْ نَظَرِ رَجُلٍ”
“Syirik kecil – (contohnya), apabila seseorang bangkit untuk solat, dan dia mencantikkan solat dia apabila (dia sedar) dia dilihat oleh orang lain” (Sunan ibn Majah, darjat Hasan)

Oleh itu sentiasa berwaspadalah atas niat kita dalam amal kebajikan untuk memastikan amal ibadah kita ikhlas semata-mata mendapatkan keredhaan dan balasan Allah semata-mata, dan mohonlah pertolongan daripada Allah agar sentiasa istiqamah dalam membetulkan niat kita. 
Semoga Allah jadikan semua di kalangan hamba-hambaNya yang ikhlas.

No comments: