Pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, disebabkan perlaksanaan PKP yang baru berkuatkuasa ini, barangkali ramai di kalangan kita yang lagi sekali, tidak berpeluang untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga tercinta, قَدَّرَ اللَّهُ وَمَا شَاءَ فَعَلَ
Saya diingatkan dengan satu hadith sebagai motivasi kepada kita semua. Rasulullah ﷺ bersabda:
أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْت
"Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai" (Al-Bukhari, Muslim)
Inilah janji Allah kepada semua yang beriman kepada-Nya dan Hari Akhir - kita akan dihimpunkan semula dengan semua yang kita cintai. Allah berfirman:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ ۚ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
"Dan orang-oranng yang beriman, dan zuriat mereka yang mengikuti mereka dalam iman, Kami himpunkan mereka bersama zuriat mereka,
dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka." (Surah At-Tur 52:21)
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا ﴿٨﴾ وَيَنْقَلِبُ إِلَىٰ أَهْلِهِ مَسْرُورًا
"Adapun mereka yang menerima kitab amalannya dengan tangan kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,
dan dia akan kembali kepada keluarganya dengan gembira." (Surah Al-Inshiqaq 84:7-9)
Masha Allah - alangkah indahnya janji Allah bagi orang mukmin!
Cuma, harapan ini hanyalah bagi mereka yang beriman dan mati di atasnya.
Maka menjadi satu dorongan kepada kita untuk bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan amal soleh, saling mengingati dan tolong-menolong ke arah kebaikan dan taqwa, agar mudah-mudahan dihimpunkan semula bersemua semua di sebaik-baik tempat di Syurga.
Tapi yang lagi best dan bagi semangat lagi, himpunan ni bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja - malah termasuk semua orang yang kita cinta demi Allah, termasuk sahabat-sahabat kita yang kita sayangi, yang turut terpisah semenjak pandemik COVID19 ini. Malah, termasuk Rasulullah ﷺ sendiri!
Anas bin Malik, apabila mendengar kata-kata Rasulullah, أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ (engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai) dia berkata,
"Kami tidak pernah merasai begitu gembira sehingga setelah mendengar kata-kata Rasulullah ﷺ ini!
Maka, aku pun mencintai Rasulullah ﷺ, Abu Bakar dan Umar, dan aku mengharapkan moga-moga aku dapat dihimpunkan bersama mereka, walaupun amalan-amalanku tidaklah setaraf dengan mereka!" (HR Al-Bukhari, Muslim)
Seorang sahabat pernah berkata kepada Rasulullah ﷺ,
"Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya, aku lebih mencintaimu lebih daripada diriku sendiri, ahli keluargaku dan anak-anakku! Apabila aku pulang ke rumah, aku terus ingat kepadamu dan aku tak bersabar untuk bertemu denganmu.
Tetapi apabila aku terfikir tentang kematianku, dan kematianmu pada masa akan datang, aku tahu bahawasanya engkau akan masuk ke syurga dan diangkat ke darjat bersama para Nabi-nabi yang lain. Dan aku takut aku tidak akan dapat menumpaimu di syurga kelak.."
Mendengar kata-kata sahabat ini, Rasulullah ﷺ terdiam. Kemudian malaikat Jibril menurunkan wahyu Allah di dalam Surah an-Nisa, ayat 69:
وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُوْلَـئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَآءِ وَالصَّـلِحِينَ وَحَسُنَ أُولَـئِكَ رَفِيقاً
"Dan barangsiapa yang taat Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah sebaik-baik teman!"
(HR Ahmad Shakir yang dinilai Sahih lighayrihi)
Hadith-hadith & Ayat Al-Qur'an ini menunjukkan juga betapa pentingnya kita untuk berkawan dengan orang-orang soleh, agar kita dapat peroleh kecintaan demi Allah.
Kerana hadith ini juga membawa maksud sebaliknya: Sayang kepada seorang fasiq atau pelaku dosa juga boleh mengakibatkan kita dihimpunkan bersama mereka pada Hari Kiamat. Boleh jadi, kalau kita sayang kawan kita yang huha atau selebriti idaman kita atas kemaksiatan dan amalan-amalan dosa mereka, mungkinkah itu menjadi dasar "perhimpunan" kita pada hari kiamat?
Sebaliknya, atas Rahmat Allah, Dia membenarkan orang-orang soleh di Syurga untuk memberi syafaat kepada orang yang beriman yang diazab di neraka, meskipun sekecil-kecil iman. Rasulullah ﷺ bersabda,
"Orang-orang beriman di syurga akan mengadu,
"Ya Allah! Selamatkanlah saudara-saudara kami - mereka solat bersama kami, puasa bersama kami, dan melakukan amal soleh bersama kami!"
Dan Allah akan berfirman, "pergilah - dan barangsiapa yang kau kenali dan jumpa di neraka, mereka yang ada iman sebesar satu zarah"
Dan Allah akan mengharamkan neraka daripada menyentuh mereka" (HR Al-Bukhari)
Ibn Al-Jauzi pernah berkata kepada sahabat-sahabatnya,
إن لم تجدوني في الجنة بينكم فاسألوا عني وقولوا : يا ربنا عبدك فلان كان يذكرنا بك
“Jika kalian tidak menjumpaiku di syurga, maka tanyakanlah tentang aku kepada Allah.
Ucapkan: "Wahai Rabb kami, hambaMu fulan, dulu dia pernah mengingatkan kami untuk mengingat Engkau.”
Kemudian beliau menangis.
Semoga Allah menghimpunkan bersama ahli keluarga kita, Rasul-Nya, Abu Bakar, Umar dan hamba-hamba-Nya yang soleh, serta mengikhlaskan kecintaan kita kepada mereka agar ianya hanya Demi Allah. 🤲🏼
No comments:
Post a Comment