Alhamdulillah, antara ibadah yang amat digalakkan pada bulan Ramadhan – lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir ini – adalah amalan Doa kepada Allah.
Sebagai persiapan dan motivasi untuk mengukukuhkan lagi ibadah doa kita untuk hari-hari yang tersisa ini, bersama-sama ini, dihimpunkan sepuluh peringatan penting seputar doa, daripada hadith-hadith sahih Nabi ﷺ:
1. Doa adalah ibadah yang paling mulia di sisi Allah
2. Waktu yang paling afdal untuk berdoa adalah ketika sujud
3. Doa seorang yang berpuasa adalah mustajab - perbanyakkan doa pada waktu siang juga!
4. Jangan lupa berdoa pada waktu sahur!
5. Latih untuk menghadirkan minda dan hati kita ketika doa
6. Doa pendek-pendek sahaja? Tadahal. Malah lagi bagus, sebenarnya!
7. Prioriti: Utamakan berdoa untuk diri sendiri terlebih dahulu…
8. … Tetapi jangan lupa berdoa untuk orang lain juga!
9. Husnu Dzon terhadap Allah: Bersikap optimis bahawasanya Allah pasti akan kabulkan doa kita
10. Rilek, bang - Bersabar untuk doa dikabulkan & jangan tergesa-gesa
Allah berfirman:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..”
Menarik bila diperhatikan susunan ayat ini di dalam surah al-Baqarah: Allah berfirman tentang jaminan-Nya untuk memakbulkan Doa para hamba-Nya, di pertengahan ayat-ayat seputar bulan Ramadhan dan ibadah puasa (ayat 183-187). Menunjukkan pentingnya peranan doa pada bulan ini!
📕📗📘📙📓📔📒📚
1. Doa adalah ibadah yang paling mulia di sisi Allah
Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ شَىْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ سُبْحَانَهُ مِنَ الدُّعَاءِ
“Tiada amalan yang lebih mulia di sisi Allah melainkan doa.” (HR At-Tirmidhi, Al-Hakim)
Doa adalah antara amalan yang paling mudah, tapi pada masa yang sama juga antara amalan yang paling dicintai oleh Allah. Kita boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja, di mana sahaja (kecuali di tandas!), dengan menggunakan apa sahaja bahasa yang mudah untuk kita. Maka ringankanlah lidah kita untuk sentiasa memohon kepadanya, kerana
Allah berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan bagimu!
Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Surah Ghafir:60)
Di dalam tafsirnya, Al-Munawi berkata, "Jika seseorang itu tidak berdoa dan memohon dan meminta-minta kepada Allah, maka Allah akan murka terhadapnya, kerana sama ada dia telah berputus asa daripada rahmat Allah, atau dia terlalu angkuh untuk memohon daripada-Nya: kedua-duanya ini mendatangkan kemurkaan Allah.
Allah mencintai seseorang yang sentiasa meminta-minta-Nya; manakala untuk seseorang yang TIDAK meminta-Nya, maka Allah membencinya."
2. Waktu yang paling afdal untuk berdoa adalah ketika sujud
Rasulullah ﷺ bersabda:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
“Saat di mana seorang hamba itu paling rapat dengan Tuhannya ketika ia sedang sujud; maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud)” (HR Muslim)
Gunakanlah peluang-peluang kita ketika solat terawih dan qiamullayl. Malah, latih juga diri kita untuk berdoa dalam sujud ketika solat fardhu!
3. Doa seorang yang berpuasa adalah mustajab
Kita sering mendengar galakkan untuk berdoa pada waktu malam – tetapi antara rahmat Allah yang kita selalu lupa adalah bahawasanya antara doa mustajab adalah doa seseorang yang SEDANG BERPUASA – dan ini berlaku sepanjang-panjang hari. Jadi, perbanyakkan doa pada waktu siang juga! Rasulullah ﷺ bersabda:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الْغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ وَعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Tiga orang yang doanya tidak tertolak:
Orang yang sedang berpuasa sehingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi/teraniaya.
Allah mengangkatnya ke langit, dibukakan baginya pintu-pintu langit, dan Allah berfirman:
“Demi keagungan-Ku, pasti Aku akan menolongmu meski setelah seketika” (HR ibn Majah dan At-Tirmidzi yang menilainya sebagai hadith hasan)
4. Jangan lupa berdoa pada waktu sahur!
Waktu sahur – yakni, sepertiga malam yang terakhir – adalah antara waktu yang paling afdhal untuk berdoa kepada Allah. Jadi, perbanyakkanlah juga doa-doa anda pada waktu ini. Gunakan waktu sahur untuk “seludup” doa-doa pada waktu tersebut!
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah ﷺ bersabda:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman:
Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya?
Barangsiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya?
Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya?” (HR Al-Bukhari)
5. Latih untuk menghadirkan minda dan hati kita ketika doa
Yang paling penting ketika doa adalah kita BERDOA - bukan "baca doa".
Zaman-zaman Grab ni, mungkin kita dah terlalu terbiasa dengan subcon dan outsource semua benda.. Sampai doa pun kita dah outsource kat imam. Manakala kita yang tidak fasih berbahasa Arab ni, hati kita lalai.
Jangan jatuh dalam perangkap ni! Pastikan bila kita berdoa, kita benar-benar hadirkan hati dan minda kita untuk ikhlas dalam benar-benar memohon daripada Allah, mengabdikan diri dan merealisasikan tawhid kita kepada Allah, mengenali-Nya sebagai Yang Maha Mendengar (السميع), Maha Mengurniakan Rezeki (الرزاق) Yang Maha Memberi (الوهاب), Yang Maha Memakbulkan Doa (المجيب), Yang Maha Kaya (الغني), Yang Maha Berkuasa (القدير), Yang Maha mengurniakan Kejayaan (الفتاح), Yang Maha Pengampun (الغفور)!
Pastikan doa-doa kita bukanlah sekadar mengulang-ulang kata-kata yang kosong semata-mata!
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu YAKIN ianya akan diperkenankan;
Dan ketahuilah, bahawasanya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai” (HR At-Tirmidzi)
6. Doa pendek-pendek sahaja? Tadahal. Malah lagi bagus, sebenarnya!
Daripada A’isyah yang meriwayatkan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنَ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ
“Rasulullah amat menyukai doa-doa yang pendek dan komprehensif (mendalam dan penuh maksud), dan dia meninggalkan segala jenis doa yang lain” (HR Abu Daud, dinilai sahih oleh Al-Albani)
Mungkin ada di kalangan kita yang tidak menghafal doa-doa yang panjang, dan hanya mampu menghafal doa-doa yang lebih ringkas. Ini bukanlah menjadi masalah, malah Nabi ﷺ lebih menyukai doa-doa yang pendek tetapi komprehensif dan penuh makna. Malah kalau dilihatkan, kebanyakan antara doa-doa ma’thur daripada hadith-hadith sahih Nabi ﷺ amatlah ringkas dan mudah dihafal.
Jadi, perbanyakkan mengulang-ulangi sahaja doa-doa ringkas yang anda sukai! Rasulullah ﷺ bersabda,
خُذُوا مِنَ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا
“Lakukanlah amalan yang mudah untukmu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan bosan sehinggalah kamu bosan.” (Al-Bukhari)
وَأَنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ أَدْوَمُهَا إِلَى اللَّهِ، وَإِنْ قَلَّ
“Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang BERTERUSAN, walaupun kecil” (Al-Bukhari)
7. Prioriti: Utamakan berdoa untuk diri sendiri terlebih dahulu…
عَنْ أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا ذَكَرَ أَحَدًا فَدَعَا لَهُ بَدَأَ بِنَفْسِهِ
“Daripada Ubayy bin Ka’ab, bahawa apabila Rasulullah ﷺ menyebut (mendoakan untuk) seseorang (lain), dia akan berdoa untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.” (HR At-Tirmidzi)
8. …Tetapi kemudian, jangan lupa berdoa untuk orang lain juga!
Rasulullah ﷺ bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seseorang Muslim untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya, adalah doa) mustajab, selagi mana dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya; salah satu daripada Malaikat akan sentiasa ada bersamanya dan mendoakan “Amin, semoga diperkenankan untuk kamu juga” (HR Muslim)
Dalam syarahan hadith ini, Imam An-Nawawi berkata:
و كان بعض السلف إذا أراد أن يدعو لنفسه يدعوا لأخيه المسلم بتلك الدعوة لأنها تستجاب ويخسل له مثلها
“Sebahagian daripada para salaf, apabila mereka menginginkan sesuatu untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakannya untuk saudara muslim dengan apa yang diinginkannya itu, kerana ianya mustajab dan akan dikurniakan yang sama bagi dirinya juga.”
Imam Abu Hanifah (rahimahUllah) berkata: "Tidak ada satu solat pun yang aku tunaikan setelah kematian shaikh-ku, Hammad, kecuali aku akan memohon keampunan untuknya, bersama-sama untuk kedua ibu bapaku. Dan sesungguhnya, aku berdoa memohon keampunan untuk sesiapa sahaja yang aku pernah peroleh ilmu daripadanya, atau sesiapa yang aku sampaikan ilmu kepadanya"
9. Husnu Dzon terhadap Allah: Bersikap optimis bahawasanya Allah pasti akan kabulkan doa kita
Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا عَلَى الأَرْضِ مُسْلِمٌ يَدْعُو اللَّهَ بِدَعْوَةٍ إِلاَّ آتَاهُ اللَّهُ إِيَّاهَا أَوْ صَرَفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا مَا لَمْ يَدْعُ بِمَأْثَمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ
“Tiada seorang Muslim di atas muka bumi ini yang berdoa kepada Allah, melainkan
Allah akan memperkenankan doanya; atau
Allah akan menjauhkannya daripada kejahatan yang setaraf dengan doanya,
selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau berdu’a untuk menghancurkan hubungan kekeluargaan (silatur-rahim).
Seorang (sahabat) berkata, “Kalau begitu, kami akan banyakkan doa kami!”
Rasulullah ﷺ menjawab, “اللَّهُ أَكْثَرُ”
“Allah lebih banyak (daripada segala yang kau boleh minta – jadi minta sahaja)!” (HR at-Tirmidzi)
Malah, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
“Sesungguhnya, Tuhanmu – maha berkat dan Maha Tinggi – berasa malu (segan) dengan hamba-Nya, ketika hamba-Nya mengangkat kedua tangannya (dalam berdoa) tetapi dia pulang dengan tangan kosong (dan tidak dikabulkan doanya)” (HR Abu Daud, dinilai “sahih” oleh Al-Albani)
10. Rilek, bang - Bersabar untuk doa dikabulkan & jangan tergesa-gesa
Merujuk kepada hadith di atas, yakinlah, Allah PASTI akan kurniakan doa kita – akan tetapi mengikut hikmah-Nya, dan Rahmat-Nya mengenali kita lebih daripada diri kita sendiri. Jadi, letakkanlah tawakkal kita kepada Allah, bahawa Allah mendegar, dan apa yang Allah kurniakan, pasti yang terbaik untuk diri kita, dunia dan akhirat. Janganlah terburu-buru dan mula mempersoalkan takdir dan hikmah Allah bila kita rasa kita tidak dapat apa yang kita mohon, seolah-olah kita berinteraksi dengan “entitlement mindset”
Rasulullah ﷺ bersabda:
يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّي فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِي
“Setiap satu daripada doa kamu akan dimakbulkan, selagi mana dia tidak tergesa-gesa dan berkata: “Aku sudah berdoa kepada Tuhanku, tetapi masih tidak dimakbulkan!”” (HR Muslim)
Ayuh sahabat-sahabat – kita perbanyakkan doa kita kepada Allah! Semoga Allah jadikan kita semua di kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan sentiasa berdoa kepada-Nya.
-أبو معاوية-
No comments:
Post a Comment