Wednesday, August 24, 2022

⚖️ Apakah perasaan kita apabila seorang penjenayah dikenakan hukuman?



Barangkali ada di kalanagan kita yang berasa gembira. 


Tapi apakah punca di sebalik “kegembiraan” ini?


Kalaulah kegembiraan ini adalah atas rasa lega kerana sistem perundangan berjaya melaksanakan hukuman dengan adil tanpa campurtangan pihak lain, dan juga sebagai peringatan kepada penjenayah yang lain, maka Alhamdulillah - ini baik. 


Tetapi bagaimanapula jika terlintas perasaan seronok melepaskan geram melihat individu tersebut “merasakan” azab? Wajar kah, jika kita terasa sentimen seperti “ha, padan muka”, “ambik kau”, atau “RASAKAN”?


Yang pasti, Rasulullah ﷺ tidak memilik perasaan sedemikian apabila saudara Muslimnya dihukum.


Abdullah ibn Mas’ud meriwayatkan: “Aku masih ingat lelaki pertama yang telah dipotong (tangannya) oleh Rasulullah ﷺ. Dia ditangkap mencuri, maka beliau ﷺ mengarahkan agar tangannya dipotong. 


Dan wajah Rasulullah ﷺ kelihatan berubah menjadi amat sedih. Maka para sahabat bertanya,

“Wahai Rasulullah – seakan-akan kamu membenci akan (tangan) sang pencuri ini dipotong?”

Rasulullah ﷺ bersabda, “bukankah sepatutnya aku bersedih? Janganlah membantu shaitan dalam menghasut saudaramu. Seorang imam (pemimpin) mestilah melaksanakan tanggungjawabnya apabila ada kesalahan dibawa kepadanya.

Dan sesungguhnya, Allah Maha Pemaaf, dan Suka Memaafkan, dan Dia berfirman:


 وَلْيَعْفُوا۟ وَلْيَصْفَحُوٓا۟ ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

“Maka hendaklah mereka memaafkan dan mengampun. Tidakkah kamu suka untuk Allah mengampunkan dosamu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Surah An-Nur, 22) 

(HR Ahmad, Al-Hakim)


Menampilkan kemanusiaan beliau serta kasih sayang kepada manusia lain, Rasulullah ﷺ terasa sedih bila hukuman hudud itu dikenakan. Bukan terasa syok atau puas hati. Bahkan beliau menjelaskan bahawa perlaksanaan hukum ini hanyalah tanggungjawab dirinya sebagai pemimpin. Nothing personal. Beliau tidak mendapatkan keseronokkan melihat sang penjenayah diazab. 


Bahkan beliau mengingatkan sahabatnya yang lain, janganlah bantu shaitan dalam menghasutnya. Bila kita menghinanya, mengutuknya, bahkan ianya akan mendatangkan perasaan kesedihan, kebencian, kemarahan, atau boleh jadi membakar ego beliau untuk membalas dendam. 


Rasulullah ﷺ mengingatkan kita daripada Surah Nur: Sebagaimana kita inginkan Allah mengampuni kita, maka sepatutnya kita juga memiliki sifat pemaaf. 


Kita lihat pula pada kes seorang perempuan yang mengaku dirinya berzina, sehingga direjam. Ada beberapa sahabat mencemuh perempuan tersebut dan mempersoalkan Nabi ﷺ - mengapa nak mensolatkan jenazah sang penzina ini? 


Maka Nabi ﷺ terus mempertahankan maruah perempuan tersebut, dengan mengkhabarkan bahawa “beliau telah bertaubat satu taubat, yang jika dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh penduduk di Madinah, maka ianya mencukupi bagi mereka semua!”(HR Muslim)


Dalam satu kisah yang lain, seorang lelaki yang bergelar “himar” (keldai), seorang sahabat Nabi ﷺ yang telah berkali-kali dihukum sebatan kerana ditangkap minum arak. Satu hari selepas ditangkap lagi sekali minum arak, ada di kalangan sahabat yang mendoakan “ya Allah, laknatlah beliau - dah berapa banyak kali beliau mengulangi dosa ini!” 


Kemudian Rasulullah ﷺ menjawab, “Janganlah kamu melaknatnya, kerana aku bersumpah Demi Allah, aku tahu, dia benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya!” (Al-Bukhari)


Rasulullah ﷺ terus mempertahankan maruah lelaki ini, dan menceritakan kebaikan dirinya yang para sahabat lain tidak lihat. Satu kualiti yang cukup agung - Mencintai Allah dan Rasul-Nya - yang mana, masha Allah, alangkah baiknya jika KITA juga diberikan pengiiktirafan sedemikian?!


Bak kata Transformers, there's more than meets the eye. 


Anyway… kesimpulannya.. Kawan dah kena hukum dah pun. 


Lebih baik kita doakan agar hukuman tersebut menjadi asbab untuk beliau bertaubat dan mati dalam husnul khatimah. 


Semoga Allah kurniakan husnul khatimah kepada kita semua 🤲🏽

No comments: