Saturday, November 21, 2020

“Copy Paste Doa” vs “Berdoa”




Bila kita lihat orang berkongsi khabar berita di WhatsApp atau media sosial tentang kejadian yang disunnahkan untuk kita berdoa – seperti pengumuman orang meninggal, baru kahwin, atau baru dapat cahaya mata – pastikan kita benar-benar BERDOA kepada Allah secara lisan. 


Yang penting adalah kita ikhlas mohon kepada Allah, bukan sekadar copy paste atau tampal sticker semata-mata untuk memperlihatkan yang diri kita prihatin.  


Bahkan kalau nak ikutkan, kalau kita berdoa terus kepada Allah dengan sembunyi tanpa copy paste pun lagi bagus sebenarnya. Dari sudut praktikal, dalam group WhatsApp, kadangkala mesej asal dah tenggelam bila terlalu ramai copy paste. Sedar-sedar, tengok group wasap, kita pun heran… apahal semua dok “inna lillah” ni.. siapa yang meninggal sebenarnya? Bayangkan orang baru pulang setelah musafir atau balik dari offshore… beratus-ratus mesej nak baca.. habis tenggelam, matlamat tak tercapai. 


Dari sudut agama pula, berdoa secara sembunyi pula lebih baik kerana Nabi ﷺ bersabda: 


دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara sembunyi (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. 

Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: 

“Amin, dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (HR Muslim)


Imam An-Nawawi menulis dalam kitabnya, Al-Azkar, hal.16 :

ﺍﻋﻠﻢ ﺃﻥ ﺍﻷﺫﻛﺎﺭ ﺍﻟﻤﺸﺮﻭﻋﺔ ﻓﻲ ﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﻏﻴﺮﻫﺎ ﻭﺍﺟﺒﺔً ﻛﺎﻧﺖ ﺃﻭ ﻣﺴﺘﺤﺒﺔً ﻻ ﻳُﺤﺴﺐُ ﺷﻲﺀٌ ﻣﻨﻬﺎ ﻭﻻ ﻳُﻌﺘﺪّ ﺑﻪ ﺣﺘﻰ ﻳﺘﻠﻔَّﻆَ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚُ ﻳُﺴﻤﻊ ﻧﻔﺴﻪ ﺇﺫﺍ ﻛﺎﻥ ﺻﺤﻴﺢ ﺍﻟﺴﻤﻊ ﻻ ﻋﺎﺭﺽ ﻟﻪ 

“Ketahuilah bahawa zikir yang disyariatkan dalam solat dan selainnya, baik yang wajib ataupun sunnah, TIDAK DIHITUNG dan tidak dikira, 

kecuali ianya diucapkan/dilafazkan dengan lisan sehingga ia dapat mendengar yang diucapkannya sendiri apabila pendengarannya sihat dan dalam keadaan normal (yakni, bukan dalam keadaan bising)”.

No comments: